X

Kindly register in order to view this article
!

Gelandangan tinggal dalam kereta di parkir hospital dibantu

Tular mengenai sebuah keluarga tinggal dalam kereta di parkir hospital.
A
A

SEREMBAN - Sebuah keluarga yang tinggal dalam kereta sejak seminggu lalu di tempat parkir Hospital Tuanku Jaafar, Seremban seperti yang tular sebelum ini telah ditempatkan di sebuah rumah dekat Bukit Chedang.

Exco Wanita, Keluarga dan Kebajikan Negeri Sembilan, Nicole Tan Lee Koon berkata, bagaimanapun penempatan itu hanya diberikan kepada wanita berkenaan juga merupakan ibu tunggal bersama dua anaknya.

"Pasangannya, iaitu lelaki berusia 51 tahun telah diminta tinggal secara berasingan memandangkan kedua-duanya bukan pasangan suami isteri.

"Mereka tidak mempunyai sebarang ikatan perkahwinan yang sah berdasarkan hasil pertemuan dengan pasangan itu di Pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Seremban hari ini," katanya dalam satu kenyataan disini hari ini.

Nicole berkata, Baitulmal akan membantu wanita tersebut membayar deposit rumah dan sewa bagi bulan pertama.

Mengulas lanjut, Nicole berkata, Baitulmal turut memberikan bantuan segera sebanyak RM300 kepada lelaki itu membuat kad pengenalan yang hilang dan wanita berkenaan membuat sijil penceraian bagi perkahwinan yang lepas di pejabat agama.

"Mereka telah dinasihatkan untuk menyegerakan proses pernikahan mereka. Sementara proses itu selesai, lelaki terbabit diminta tinggal secara berasingan.

"JKM Seremban telah menyerahkan borang JKM 18 kepada mereka untuk dilengkapkan dengan segera bagi membuat pertimbangan bantuan bulanan yang bersesuaian," katanya.

Terdahulu, tular di laman Facebook mengenai sebuah keluarga yang tinggal dalam sebuah kereta sejak seminggu lalu di parkir Hospital Tuanku Jaafar, Seremban selepas gagal membayar tunggakan sewa rumah selama empat bulan.

Menerusi maklumat yang tersebar, mereka empat beranak termasuk dua kanak-kanak menjadikan kenderaan tersebut sebagai tempat berteduh selain terpaksa memberi air sirap kepada anak kecilnya sebagai penganti susu.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!