Tiada bukti wujud penjawat awam sabotaj kerajaan

Mohd Khairul Adib Abd Rahman
Mohd Khairul Adib Abd Rahman
A
A
A

KOTA KINABALU - Tiada bukti wujudnya rasa tidak puas hati dalam kalangan penjawat awam hingga mendakwa mereka mensabotaj pentadbiran kerajaan.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Mohd Khairul Adib Abd Rahman berkata, ia mungkin sebagai alasan kepada masalah komunikasi banyak berlaku ketika perhubungan antara penjawat awam tetapi dilihat menjurus kepada unsur sabotaj.

"Katanya ia banyak diperkatakan, tetapi sehingga hari ini tiada bukti dan setakat ini kami juruskan tiada gerakan terancang.

"Sebaliknya ia mungkin disebabkan kecekapan pegawai yang tidak memberikan komitmen kepada kerja. Kita kena hati-hati istilah digunakan supaya tidak libatkan semua penjawat awam dalam satu warna yang sama.

"Ramai penjawat awam ikhlas dan tekun bekerja untuk menyumbang dari awal berkhidmat hingga hari ini dengan semangat profesional," katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan amanat kepada Penjawat Awam Sabah di sini semalam.

Menurutnya, jika unsur itu wujud, sudah tentu penjawat awam yang dikenal pasti terlibat akan diambil tindakan mengikut peraturan sedia ada.

Beliau berkata, sebagai penjawat awam, mereka tahu peraturan apa yang perlu dipatuhi dalam perkhidmatan awam.

Terdahulu, dalam amanatnya pada majlis itu, beliau menyentuh mengenai pelbagai tohmahan dilemparkan kepada penjawat awam melalui pelbagai aplikasi media sosial.

Artikel Berkaitan:

Katanya, ia memberi impak negatif kepada perkhidmatan awam sekiranya fenomena ini tidak ditangani dengan sewajarnya.

Menurutnya, semua sedia maklum bahawa perkembangan pantas teknologi maklumat dan komunikasi pada hari ini telah mewujudkan fenomena globalisasi dunia tanpa sempadan.

"Perkara ini juga perlu dipandang serius kerana ia melibatkan penyebaran maklumat tanpa pengesahan terutamanya bila isu itu disebarkan melalui WhatsApp, Facebook, YouTube, Twitter, Instagram dan sebagainya.

"Saya berpesan agar kita terus berhati-hati dalam apa jua tindakan kita terutamanya ketika mengeluarkan sebarang kenyataan atau perkongsian dalam media sosial. Ia sejajar dengan sumpah dan ikrar kita di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 dan Aku Janji Perkhidmatan Awam bagi menyimpan rahsia rasmi kerajaan," katanya. - Bernama