Skuad badminton masih boleh dibanggakan

Aksi Zii Jia semasa Sukan SEA Filipina 2019 di Muntinlupa Sports Centre Manila baru-baru ini.
Aksi Zii Jia semasa Sukan SEA Filipina 2019 di Muntinlupa Sports Centre Manila baru-baru ini.
A
A
A

BEKAS pemain badminton perseorangan lelaki negara, Roslin Hashim menyifatkan kejayaan skuad badminton negara membawa pulang tiga pingat emas dari Sukan SEA 2019 Filipina sebagai sesuatu yang boleh dibanggakan negara apatah lagi Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mempertaruhkan barisan muda negara bagi edisi ke-30 Manila.

Menurutnya, tiga kategori yang dimenangi kem badminton negara pada kebiasaannya sebelum ini diungguli pencabar terdekat negara iaitu Indonesia.

“Kalau kita tengok ia boleh disifatkan satu satu pencapaian yang membanggakan, kerana kita penyumbang emas paling banyak.

“Dalam lima kategori dipertandingkan tiga menjadi milik kita sementara dua lagi milik Indonesia yang kebiasaannya mendominasi tiga kategori,” katanya.

Roslin berkata demikian ketika diminta mengulas prestasi skuad badminton Sukan SEA Filipina 2019 yang meraih tiga emas sekali gus melepasi sasaran ditetapkan Majlis Sukan Negara sebelum ini.

BAM sebelum ini dilaporkan meletakkan sasaran dua pingat emas di Sukan SEA 2019 telah mengurangkan sasaran itu kepada satu pingat emas selepas juara bertahan acara perseorangan wanita, Goh Jin Wei tidak dapat menyertai temasya itu kerana menjalani pembedahan.

Mengulas mengenai jaguh badminton perseorangan negara Lee Zii Jia, Roslin berkata, pemain berusia 21 itu disifatkan cukup layak memenangi emas acara badminton kategori individu lelaki Sukan SEA Filipina 2019 walaupun terdapat segelintir pihak mendakwa kemenangan diraih disebabkan bernasib baik kerana ketiadaan jaguh dari Indonesia.

Menurut Roslin, beliau tidak menafikan laluan ke final temasya dwi tahunan negara Asean pemain dari Sungai Petani itu sedikit mudah tanpa kelibat jagoan badminton utama dari Indonesia.

Artikel Berkaitan:

“Memanglah suara-suara nakal akan berkata Zii Jia menang emas Sukan SEA Filipina 2019 sebab ketiadaan pemain utama perseorangan lelaki dari Indonesia pada kali ini.

“Ya betul, saingan terhadap Zii Jia tak kuat tapi semua harus ingat bahawa tanpa kelibat jagoan dari Indonesia pun Zii Jia tetap berdepan tekanan dari dalam dan luar gelanggang sepanjang kejohanan berkenaan.

“Jadi untuk menang pingat emas pada temasya Sukan SEA, Zii Jia yang kita tahu cukup berpengalaman pada kejohanan tertinggi dunia tetap perlu membuat persediaan lebih rapi.

“Andai tiada persediaan rapi saya percaya tidak mungkin Zii Jia mampu membawa pulang emas dari kem badminton untuk negara pada temasya kali ini.

“Kalau kita tengok balik lawan dia pada final pun bukan calang-calang pemain kerana pernah menewaskan jagoan dunia Lin Dan pada final Thailand Master,” katanya.