Malaysia hantar kontinjen keempat terbesar Sukan Para ASEAN 2020

No Image Caption
A
A
A

MALAYSIA dengan 215 atlet menjadi kontinjen keempat terbesar menyertai temasya Sukan Para ASEAN 2020 di Filipina, Januari depan.

Menurut kenyataan Persekutuan Sukan Para ASEAN (APSF), Thailand menghantar kontinjen terbesar dengan 317 atlet diikuti juara bertahan, Indonesia (306).

Tuan rumah, Filipina pula menyenaraikan 274 atlet pada temasya sukan dwitahunan yang akan berlangsung di tiga kluster - New Clark City, Subic dan Manila dari 18 hingga 24 Januari depan.

Vietnam akan diwakili 109 atlet, Myanmar (108), Kemboja (76), Singapura (61), Laos (31), Brunei (31) dan Timor Leste menghantar 10 atlet.

Menurut kenyataan itu, sukan edisi ke-10 itu menjadi temasya terbesar dalam sejarah 19 tahun sukan berkenaan dengan penyertaan 1,533 atlet dan 829 pegawai dari 11 negara melepasi jumlah 1,452 atlet pada edisi lalu di Kuala Lumpur pada 2017.

Sebanyak 16 sukan akan dipertandingkan dengan sukan tempuh halangan para sebagai sukan demonstrasi.

Sukan yang dipertandingkan ialah olahraga, memanah, badminton, boccia, catur, berbasikal CP, bola sepak, goalball, judo, powerlifting, renang, tenpin boling, ping pong, triatlon, bola tampar duduk dan bola keranjang berkerusi roda.

Temasya sukan tersebut adalah platform terbaik untuk atlet memburu tiket kelayakan ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020. - Bernama

Artikel Berkaitan: