Terengganu rai atlet harumkan nama Malaysia di Sukan SEA 2023

Wan Sukairi
Wan Sukairi
A
A
A

SERAMAI 30 atlet Terengganu yang memenangi pingat di Sukan SEA Kemboja 2023 pada 5 hingga 12 Mei lalu menerima insentif Skim Hadiah Kemenangan (SHAKE) berjumlah RM82,000.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, ia melibatkan 23 atlet lelaki dan tujuh wanita yang memenangi 26 pingat termasuk lima emas, lapan perak dan 13 gangsa dalam 13 acara di temasya sukan dwitahunan berkenaan.

“Ganjaran sebanyak RM4,000 disediakan untuk atlet yang memenangi pingat emas, pingat perak (RM3,000) dan gangsa (RM2,000) untuk acara individu.

“Bagi acara berkumpulan pula setiap atlet menerima insentif RM2,500 bagi pingat emas, perak (RM2,000) dan gangsa (RM1500). Insentif ini diharap dapat menaikkan semangat atlet lain untuk memenangi pingat untuk negara pada mana-mana temasya sukan di luar negara pada masa akan datang,” katanya pada majlis Apresiasi Atlet Terengganu Sukan SEA 2023 Kemboja di Kuala Terengganu pada Khamis.

Pada majlis sama, Wan Sukairi turut menyampaikan insentif Skim Wakil Negara (SWARA) berjumlah RM54,000 kepada 54 atlet Terengganu yang mewakili negara pada Sukan SEA Kemboja.

Selain itu hadiah kemenangan berjumlah RM29,900 juga disalurkan kepada 15 atlet berbasikal yang telah memenangi pingat pada Kejohanan Berbasikal Trek Kebangsaan di Nilai, Negeri Sembilan pada 14 hingga 19 Mei lalu.

“Kita harap Terengganu akan terus menjadi kuasa sukan negara pada masa akan datang. Insentif sebegini antara usaha kerajaan negeri menggalak dan menghargai usaha atlet dalam mengharumkan nama negeri dan negara,” katanya. - Bernama