X

Kindly register in order to view this article
!

Peguam sekali lagi cabar sistem sekolah vernakular di Mahkamah Tinggi

Mohd Khairul Azam ditemani Shaharudin (dua dari kanan) menunjukkan draf tuntutan di luar Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang peguam memfailkan semula permohonan untuk mencabar sistem sekolah vernakular di Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didakwa bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Plaintif, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz memfailkan permohonan itu melalui firma guaman Tetuan Azam Aziz Shaharudinali & Co di Pejabat Pendaftar di sini.

Notis usul itu menamakan Menteri Pendidikan Malaysia sebagai defendan pertama dan kerajaan Malaysia sebagai defendan kedua.

Datuk Shaharudin Ali yang mewakili plaintif berkata, keputusan itu diambil selepas Mahkamah Persekutuan Putrajaya membuat keputusan tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar kes berkenaan.

Pihaknya mengambil contoh bagi kes Universiti Merdeka pada 1981 apabila Mahkamah Persekutuan memutuskan penggunaan bahasa Cina sebagai medium pengajaran melanggar Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

Beliau memohon pengisytiharan, Seksyen 28 dan 17 Akta Pendidikan 1996 (Akta 550), yang membenarkan penggunaan bahasa lain sebagai bahasa utama di sekolah vernakular bertentangan dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

Sementara itu, Mohd Khairul Azam menafikan tindakannya itu dibuat sebagai isu perkauman.

“Saya harap masyarakat memahami tindakan yang saya buat. Saya bukan mahu sekolah itu diroboh, ini bukan isu perkauman tetapi isu undang-undang serta Perlembagaan,” katanya pada sidang akhbar di luar mahkamah hari ini.

Pada 11 November lalu, Mahkamah Persekutuan di Putrajaya menolak permohonan Mohd Khairul Azam untuk mencabar kewujudan sekolah vernakular yang didakwa bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Hakim Besar Malaya, Tan Sri Azahar Mohamed dalam penghakimannya memutuskan Parlimen mempunyai bidang kuasa untuk menggubal undang-undang mengenai pendidikan.

Beliau juga memutuskan Mahkamah Persekutuan bukan pentas untuk pemohon mencabar kewujudan sekolah vernakular.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!