MAIWP serah bantuan zakat khas RM33.2 juta, manfaatkan 54,331 penerima

Mujahid menyerahkan sumbangan Bantuan Zakat Khas Kepada Asnaf kepada wakil asnaf, Azuraida Abdullah (kanan) pada Majlis Penyerahan Peruntukan Kerajaan Persekutuan Untuk Pondok, Tahfiz dan Masjid di Seluruh Negara Serta Penyerahan Bantuan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Kepada Asnaf dan Pelajar Sekolah di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin hari ini. - Foto Bernama
Mujahid menyerahkan sumbangan Bantuan Zakat Khas Kepada Asnaf kepada wakil asnaf, Azuraida Abdullah (kanan) pada Majlis Penyerahan Peruntukan Kerajaan Persekutuan Untuk Pondok, Tahfiz dan Masjid di Seluruh Negara Serta Penyerahan Bantuan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Kepada Asnaf dan Pelajar Sekolah di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) hari ini menyerahkan bantuan zakat khas kepada 54,331 penerima melibatkan peruntukan sebanyak RM33.2 juta.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, bantuan zakat khas itu merupakan tambahan kepada bantuan zakat sedia ada yang diterima daripada Baitulmal MAIWP, antara lain bagi meringankan beban penerima bagi menampung keperluan masing-masing.

Menurutnya, selain meringankan beban kos sara hidup, bantuan zakat khas itu juga meliputi pembiayaan perubatan dan perbelanjaan asnaf untuk menyediakan kelengkapan dan urusan persekolahan serta pengajian di institut pengajian tinggi.

"Bantuan ini disalurkan melalui empat skim bantuan zakat iaitu bantuan kewangan bulanan RM1,000 setiap keluarga, bantuan perubatan RM1,000 bagi setiap individu.

"Bagi bantuan am persekolahan, asnaf menerima RM250 setiap orang dan RM500 sebagai bantuan am pelajaran dalam serta luar negara," katanya ketika berucap pada majlis penyerahan peruntukan kerajaan persekutuan untuk pondok dan tahfiz serta bantuan MAIWP kepada asnaf dan pelajar sekolah di sini.

Hadir sama, Pengerusi MAIWP, Datuk Seri Syed Hussien Alhabshee.

Pada majlis itu, Mujahid turut melakukan simbolik penyerahan bantuan peralatan dan pakaian persekolahan MAIWP kepada 17,890 pelajar meliputi 9,211 pelajar sekolah menengah, 8,679 murid sekolah rendah serta 4,543 pelajar Sekolah Rendah Agama (SRA) atau Kelas Agama dan Fardhu Ain (KAFA) melibatkan jumlah agihan sebanyak RM5.1 juta.

Beliau berkata, setiap pelajar akan menerima dua pasang baju sekolah, sebuah beg dan sepasang kasut manakala pelajar yang mengikuti kelas SRA/ KAFA turut menerima tambahan dua pasang uniform SRA.

Artikel Berkaitan:

Menurut MAIWP, bantuan itu diagihkan di lima pusat agihan sementara yang dibuka di Masjid Wilayah Persekutuan Jalan Duta, Masjid Usamah bin Zaid Wangsa Maju, Masjid Al-Ikhlasiah Pantai Dalam, Quill City Mall dan Cheras Sentral yang telah dibuka sejak 1 Disember lepas. - Bernama