X

Kindly register in order to view this article
!

Makna identiti seorang Muslim

A
A

APA respons anda bila anda ditanya mengapa anda seorang Muslim? Adakah anda akan jawab bahawa anda Muslim kerana ibu bapa anda Muslim juga?

Adakah anda akan jawab bahawa anda Muslim kerana anda Melayu? Adakah anda akan jawab bahawa anda Muslim kerana anda mahu kahwin dengan seorang wanita Muslimah yang anda sudah jatuh cinta? Adakah anda akan jawab bahawa anda Muslim kerana anda profesor pengajian Islam?

Ramai sebenarnya mungkin terkejut dan tidak bersedia dengan soalan ini. Mungkin ramai tidak bersedia kerana Islam adalah umpama bantal busuk bagi mereka. Islam menjadi umpama warisan pusaka. Maka, pandangan mereka pada Islam pun umpama bantal busuk atau warisan pusaka! Sesiapa pun tak boleh mempertikaikan rasionaliti pandangan Islam mereka.

Walaupun anda menghadiahkan bantal baharu yang mahal sekalipun, mereka tetap obses dengan bantal busuk mereka yang bernama ‘Islam’. Bagi mereka ini, makna menjadi Muslim adalah lebih cenderung kepada membela warisan daripada membela ketulenan dan tajdid agama. Sesiapa yang mempersoalkan tokoh-tokoh agamawan klasik, pasti akan dianggap bukan sekadar sesat tetapi pengkhianat.

Persoalannya ialah sekarang sejauh manakah universiti-universiti berlabelkan Islamik mampu mendidik mahasiswa untuk sentiasa bermuhasabah dengan soalan: “Mengapa saya Muslim?” Universiti adalah satu birokrasi yang besar.

Ia dibebankan oleh prosedur-prosedur pentadbiran yang terperinci dan hierarki organisasi yang membahagikan warga universiti mengikut kelas sosial. Bandingkan senario seorang mahasiswa berjalan lalu seorang penyapu sampah dan seorang Naib Canselor universiti, dia akan beri salam kepada siapa?

Nabi pernah memberi isyarat tentang makna Islam yang hebat dalam hadis sahih al-Bukhari. Islam yang hebat ialah yang memberi makan dan memberi salam kepada orang yang kita kenal dan tidak kenal.

Ayat memberi salam bukan sekadar kepada kenalan tetapi juga kepada bukan kenalan sebenarnya ia mencabar kita memikirkan persoalan siapa saya sebagai Muslim? Adakah saya sebagai Muslim bermakna saya hanya memikirkan diri saya sendiri dan keluarga saya sahaja yang perlu sejahtera? Saya tak perlulah memikirkan kesejahteraan jiran, kawan dan manusia lain.

Adakah saya Muslim kerana saya mahu masuk syurga? Atau saya nak semua masuk syurga?

Tafsiran

Universiti yang berjubahkan Islamik mesti mendidik setiap pelajar untuk menjawab persoalan mengapa saya Muslim. Mungkin mengelirukan kalau sekadar fokus kepada lima Maqasid Syariah iaitu menjaga agama, diri, akal, harta dan nasab.

Ada ilmuwan agamawan mentafsirkan menjaga agama maknanya menjaga iman. Maka, pentafsiran maqasid itu lebih cenderung kepada individualisme atau syok sendiri.

Bayangkan seseorang berkata dia telah menyempurnakan Maqasid Syariah kerana beliau menjaga iman sendiri, menjaga diri sendiri, menjaga akal sendiri, menjaga harta sendiri, menjaga nasab dan kemaluan sendiri. Dia hanya perlu menjaga dirinya sendiri!

Kalau ikut pentafsiran tradisional, itu bermakna dia tidak murtad, tidak bunuh diri, tidak minum arak, tidak rompak, tidak zina. Cukup lima maqasid walaupun kelima-lima sekadar bersifat individualistik.

Makna Muslim paling jelas dinyatakan dalam surah al-Fatihah yang bermaksud: “Hanya KepadaMu, kami sembah.” Perkataan kami bermakna surah itu mewajibkan kita berfikir kolektif, bukan individualistik, bila menyembah ALLAH SWT dan berkhidmat untuk agama.

Kita perlu sampaikan salam juga kepada orang yang tidak di kenali. Maka menjadi Muslim maknanya membina persahabatan dan ukhuwah sejagat demi menjadi Rahmatan lil alamin.

Bila kita faham makna Muslim sebagai satu amanah dan imej kolektif, kita perlu wujudkan satu kategori maqasid yang baharu iaitu menjaga ukhuwah atau menjaga ummah.

Dengan adanya maqasid ke enam ini, maka sebuah universiti berjubahkan Islamik wajib meminimumkan hierarki kelas sosial. Seorang Naib Canselor kena selalu turun padang bercampur dengan rakyat biasa. Dia kena tunjuk contoh terbaik bahawa dia menghargai dan memerlukan setiap warga dalam universiti hatta penyapu sampah sekalipun.

Tanpa sahabat penyapu sampah, universiti itu tidak mungkin Islamik. Kita sembah ALLAH SWT dan berjuang bersama-sama. Aku Muslim kerana aku cintakan KITA.

Xifu Naser ialah Pensyarah Pemikiran Kreatif Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!