Karnival Rainforest Challenge promosi Kelantan Selatan

Peserta RFC Grand Final 2019 mengharungi 10 cabaran terakhir di tapak post logue Hentian Gua Musang untuk melengkapkan cabaran halangan yang berjumlah 42 halangan keseluruhannya.
Peserta RFC Grand Final 2019 mengharungi 10 cabaran terakhir di tapak post logue Hentian Gua Musang untuk melengkapkan cabaran halangan yang berjumlah 42 halangan keseluruhannya.
A
A
A

GUA MUSANG - Karnival Rainforest Challenge (RFC) Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) @ Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) melangkaui sasaran dengan menerima lebih 150,000 pengunjung.

Program yang bermula pada 7 hingga 9 Disember lalu di Hentian Gua Musang itu adalah anjuran kedua oleh Kesedar hasil kolaboratif bersama RFC International Sdn Bhd.

Menariknya, penganjuran tahun kedua itu menerima penyertaan seramai 350 peserta daripada lebih 25 negara.

Pengerusinya, Datuk Sazmi Miah berkata, Kesedar mengambil peluang tersebut menerusi kerjasama secara langsung bagi mempromosikan pelbagai keistimewaan yang terdapat di Kelantan Selatan, khususnya di Gua Musang.

Menurutnya, program itu bertujuan menjadikan RFC sebagai sukan lasak permotoran yang terunggul di dunia, sekali gus mempromosikan kawasan Kelantan Selatan sebagai destinasi pelancongan luar bandar yang menarik untuk dikunjungi.

“RFC adalah salah satu pelopor sukan permotoran 4x4 di dunia. Kita amat bertuah kerana sukan lasak ini berjaya diadakan di Gua Musang.

Peserta RFC Grand Final 2019 mengharungi 10 cabaran terakhir di tapak post logue Hentian Gua Musang untuk melengkapkan 42 halangan.
Peserta RFC Grand Final 2019 mengharungi 10 cabaran terakhir di tapak post logue Hentian Gua Musang untuk melengkapkan 42 halangan.

“Malah, untuk tahun depan kita menjangkakan penganjuran ini akan lebih menyeluruh dan Gua Musang akan dikenali sebagai pusat kejohanan 4x4.

Artikel Berkaitan:

“Kita mengharapkan kerjasama daripada agensi kerajaan dan swasta bagi memastikan acara sukan ini mampu dijadikan acara tahunan untuk mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2020,” katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.

Sepanjang tiga hari penganjuran, pelbagai acara menarik disediakan, antaranya Monsoon Cycling, pertandingan ayam hutan dan burung candik, sukan rakyat, pameran agensi, jualan produk serta cabutan bertuah.

Dalam pada itu, Kesedar turut mengambil peluang dengan memperkenalkan produk-produk yang dihasilkan usahawan tempatan dalam merancakkan lagi perkembangan ekonomi di Kelantan Selatan.

Sazmi berkata, platform itu boleh menjadi serampang dua mata untuk usahawan di Kelantan Selatan dalam memperkenalkan produk-produk mereka kepada pelancong asing.

"Usahawan perlu kreatif dan bijak dalam mencari alternatif baharu dan strategi pemasaran digital yang efektif, praktikal serta relevan agar dapat mengembangkan lagi perniagaan selaras dengan agenda ekonomi digital negara," katanya.


Pertandingan mencanting batik turut dianjurkan sempena RFC Kesedar@KPLB 2019.
Pertandingan mencanting batik turut dianjurkan sempena RFC Kesedar@KPLB 2019.

Beliau turut meluangkan masa melawat gerai-gerai pameran usahawan dan menyertai beberapa aktiviti-aktiviti menarik yang telah disediakan di tapak karnival.

Selain itu, Kesedar turut menyampaikan sumbangan beg sekolah kepada pelajar miskin di sekitar kawasan Kelantan Selatan dan menyediakan perkhidmatan menukar minyak hitam secara percuma kepada masyarakat setempat.

Tirai karnival dilabuhkan dengan Majlis Makan Malam RFC’ KESEDAR@KPLB 2019, bertempat di Dewan Komuniti Kesedar, Gua Musang.

Pada majlis itu, Sazmi turut menyampaikan anugerah kepada pemenang-pemenang pertandingan yang bermula pada 28 November dan berakhir di Gua Musang pada 9 Disember 2019.