Hentikan sengketa, utamakan rakyat!

Anwar, Mohamed Azmin
Anwar, Mohamed Azmin
A
A
A

PERINGATAN yang diberikan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa rakyat mahu melihat hasil kerja yang dilakukan Pakatan Harapan (PH) dan bukan bersengketa sesama sendiri perlu diambil serius.

Berdasarkan pada pergolakan yang berlaku dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR), salah satu parti komponen dalam PH, jelas membuktikan kedudukan PH dalam keadaan tergugat.

Bagi rakyat, perpecahan yang berlaku dalam PKR tidak seharusnya terjadi memandangkan parti itu adalah sebahagian daripada parti kerajaan. Daripada mencetuskan perbalahan, lebih baik masa yang dihabiskan itu digunakan untuk memikirkan bagaimana cara membantu rakyat mengatasi kos sara hidup yang semakin membebankan.

PKR seharusnya menunjukkan contoh kepimpinan yang baik kepada parti lain, lebih-lebih lagi kepada parti komponen PH seperti DAP, Amanah dan Bersatu. PKR bukan sahaja mempunyai jumlah kerusi paling banyak dalam Parlimen, malah ia turut mempunyai menteri yang penting dalam kerajaan serta bakal Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Persengketan antara Anwar sebagai Presiden PKR dengan Timbalannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali perlu diselesaikan segera. Mereka perlu melupakan masalah peribadi sebaliknya mengutamakan perpaduan dan kerjasama agar parti tidak berpecah.

Anwar dan Azmin perlu ingat, sebagai pemimpin utama dalam parti dan kerajaan, rakyat sentiasa mengharapkan kebijaksanaan mereka bagi memastikan segala urus tadbir kerajaan dan parti berjalan dengan baik.

Parti yang paling gembira melihat perbalahan dua kem dalam PKR itu sudah tentu di pihak pembangkang. BN dan Pas, yang kini tidak perlu lagi mengkritik kelemahan yang berlaku dalam PKR, tetapi rakyat sudah boleh menilai pemimpin-pemimpin PKR yang bertelagah di antara satu dengan lain.

Adalah lebih baik pemimpin-pemimpin PKR duduk kembali ke meja rundingan. Mereka mesti segera mencari titik perdamaian. Ini bukan sahaja dapat mengelakkan parti mereka daripada terus berpecah, malahan kemungkinan dapat menghalang PH menjadi kerajaan sepenggal sahaja.

Artikel Berkaitan: