Isytihar harta mainan politik murahan

A
A
A

KEPUTUSAN sebahagian besar Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan Pas enggan mengisytiharkan harta peribadi dan keluarga seperti yang dikehendaki Parlimen tidak seharusnya dilihat sebagai satu kompromi terhadap rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Rakyat perlu dimaklumkan bahawa ada banyak kepincangan dan keraguan terhadap usul tergesa-gesa kerajaan yang meluluskan peraturan supaya semua ahli Parlimen termasuk isteri atau suami, anak serta pemegang amanah mengisytiharkan harta mereka dalam Akuan Berkanun.

Peraturan itu bukan undang-undang melalui akta, sebaliknya hanya merupakan peraturan Parlimen yang kegagalan mematuhinya membolehkan ahli Parlimen terbabit dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen mengikut Peraturan Mesyuarat 80 Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat kerana melanggar hak dan keistimewaan majlis.

Jadi kita tertanya-tanya apa asas peraturan itu dibuat merangkumi keluarga ahli Parlimen yang di luar bidang kuasanya. Parlimen tidak boleh mendisiplin atau mengambil tindakan semberono terhadap mereka yang bukan ahlinya.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membuat rumusan yang sangat jelas iaitu: “Usul Parlimen untuk isytihar harta melangkaui kuasa Parlimen kerana Parlimen tiada kuasa untuk mengenakan arahan kepada ahli Parlimen dalam perkara di luar ruang lingkup perjalanan mesyuarat Parlimen; apatah lagi melibatkan isteri dan anak-anak. Peraturan Parlimen hanya terhadap perjalanan dan perkara-perkara yang berlaku dalam Parlimen.”

Kerajaan memberi alasan pengisytiharan harta ahli Parlimen dan ahli keluarga mereka yang akan dipaparkan secara atas talian merupakan satu usaha mengatasi gejala rasuah dan salah guna kuasa.

Alasan itu tidak masuk akal kerana ahli Parlimen pembangkang tidak mempunyai punca kuasa untuk memberi apa-apa faedah kepada mana-mana pihak membabitkan dana dan kontrak kerajaan.

Jika mereka tiada kuasa dan kedudukan dalam kerajaan maka tidak timbul isu mereka akan menyalahgunakan dana kerajaan.

Artikel Berkaitan:

Jadi tujuan parti pemerintah membuat usul itu hanyalah sebagai satu usaha meneruskan polemik dalam kalangan rakyat mengenai harta dan pendapatan ahli Parlimen. Ia akan mengalihkan perhatian rakyat daripada isu-isu pentadbiran negara hari ini.

Ancaman

Pengisytiharan harta bukan sahaja mewujudkan polemik terbuka tetapi juga menyebabkan wakil rakyat berada dalam keadaan defensif berhadapan persepsi ketika menguruskan isu rakyat.Rakyat akan mengukur bantuan yang diberikan dengan jumlah harta yang diisytiharkan. Ini diakui sendiri oleh Ahli Parlimen Segamat, Edmund Santhara Kumar (PH), yang mengisytiharkan hartanya sebanyak RM132.83 juta.

Dalam satu temu bual dengan Malaysiakini, Santhara berkata, ramai orang datang kepadanya untuk meminta derma dan sumbangan.

“Sebelum ni, orang gembira apabila saya beri RM1,000 tetapi sekarang bila saya berikan jumlah yang sama daripada wang peribadi saya, mereka kata “kamu kedekut.”Pendedahan harta Ahli Parlimen dan keluarga kepada umum juga mendedahkan mereka kepada ancaman keselamatan. Siapa boleh menjamin keselamatan ahli keluarga ahli Parlimen yang mengisytihar harta berpuluh juta?

Menurut Shantara, sehingga kini anak-anaknya masih di luar negara kerana berasakan tidak selamat untuk pulang ke negara ini berikutan perisytiharan hartanya.

Jika ahli Parlimen yang mampu membiayai pasukan keselamatan sendiri pun bimbang akan keselamatan keluarganya; bagaimana pula ahli Parlimen yang sekadar mempunyai berbelas juta dalam bentuk aset dan anak-anak mereka di sekolah harian biasa.

Seperti kata Ismail Sabri, “Ahli Parlimen pembangkang tidak menentang sebarang usaha mengambil tindakan ke atas mereka yang terbabit rasuah dan salah guna kuasa.

Jika ada kesalahan yang mencurigakan membabitkan kes rasuah dan pecah amanah, SPRM mempunyai kuasa untuk menyiasat dan menahan sesiapa sahaja yang didapati bersalah.”

Ahli Parlimen juga mengisytiharkan pendapatan dan harta mereka kepada bahagian cukai pendapatan setiap tahun. Maka pihak kerajaan boleh mendapatkan maklumat tentang pendapatan dan aset ahli Parlimen daripada Jabatan Cukai Pendapatan.

Malangnya, kaedah itu tentulah tidak memberi apa-apa polemik politik yang menguntungkan kerajaan.

Jelas parti pemerintah hari ini lebih berminat berpolemik berbanding memfokus kepada pembangunan dan perkembangan ekonomi negara yang kian tenat. Rakyat tidak harus tertipu dengan permainan politik murahan ini.

* Ab Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar)