Virus polio: KKM bincang dengan WHO, UNICEF

Boon Chye (tengah) menyempurnakan perasmian Festival Placemaking 2019 di Dewan Konvensyen GRC, Rapat Setia di sini hari ini.
Boon Chye (tengah) menyempurnakan perasmian Festival Placemaking 2019 di Dewan Konvensyen GRC, Rapat Setia di sini hari ini.
A
A
A

IPOH - Kerajaan melalui Kementerian Kesihatan akan mengadakan perbincangan dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) mengenai pemberian vaksin untuk polio minggu hadapan.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, perbincangan tersebut meliputi pemberian vaksin dalam kalangan kanak-kanak warga asing dan yang tidak mempunyai dokumen sah di negara ini.

Menurutnya, perbincangan mengenai pembiayaan kos akan turut dibuat bersama-sama kedua-dua agensi itu dan kerajaan Filipina bagi memastikan suntikan tersebut dapat diberikan kepada bukan warganegara Malaysia.

"Masalah sekarang adalah warga asing atau mereka yang tiada dokumen, kadar vaksinasi mereka kurang daripada 70 peratus dan ini akan menjadi risiko di mana penularan penyakit boleh berlaku dalam kalangan kanak-kanak yang tidak ada imunisasi.

"Kita harap dapat perluaskan vaksinasi untuk meliputi kanak-kanak tanpa dokumen dan warga asing. Kita sedang bincang dengan UNICEF dan kerajaan Filipina supaya kos vaksin lebih rendah dapat disediakan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Festival Placemaking 2019 di Dewan Konvensyen GRC, Rapat Setia di sini hari ini.

Hadir sama pada majlis itu, Exco Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Perak, Tan Kar Hing dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teja.

Boon Chye berkata, perbincangan pada minggu depan bersama agensi-agensi tersebut juga akan turut meliputi perancangan terperinci terhadap vaksinasi penyakit polio di Sabah.

Sementara itu beliau berkata, kerajaan setakat ini tidak bercadang mewajibkan suntikan vaksin kepada semua rakyat di negara ini.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, ini kerana kadar kesedaran rakyat terhadap kepentingan mendapatkan imunisasi itu telah meningkat.

"Kebelakangan ini setelah kita ada usaha pendidikan dan juga usaha memberi penerangan kepada ibu bapa yang mungkin tidak berapa selesa dengan vaksinasi menyebabkan kadar individu yang mendapatkan suntikan vaksin meningkat lebih 95 peratus.

"Untuk itu tidak ada keperluan untuk kita mewajibkan vaksin. Kita boleh guna cara pendidikan dan cara-cara yang lain untuk memastikan kadar vaksin melebihi 95 peratus," katanya.