Penyeludup kantoi di kawasan sempadan Malaysia-Thailand

Daun ketum yang dirampas PGA Batalion 9.
Daun ketum yang dirampas PGA Batalion 9.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 9 Kuala Terengganu mematahkan cubaan menyeludup daun ketum, ubat batuk dan ayam beku yang dianggarkan bernilai hampir RM100,000 semalam.

Rampasan itu dilakukan dalam tiga operasi berasingan di kawasan sempadan Malaysia-Thailand bermula jam 1 hingga 7.30 pagi.

Pegawai Pemerintah PGA Batalion 9, Superintendan Nor Azizan Yusof berkata, dalam serbuan pertama pada jam 1 pagi itu pihaknya merampas 35 kilogram (kg) daun ketum selepas menahan seorang lelaki berusia 24 tahun di pangkalan haram Gergaji.

"Selain itu kita turut merampas 576 botol ubat batuk yang cuba diseludup masuk ke negeri ini menerusi pangkalan haram tersebut.

Ubat batuk yang dirampas PGA Batalion 9.
Ubat batuk yang dirampas PGA Batalion 9.

"Kesemua barangan rampasan termasuk suspek dan kenderaan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk tindakan lanjut.

"Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 15 (1) ADB 1952," katanya.

Artikel Berkaitan:

Nor Azizan berkata, dalam serbuan kedua sekitar jam 6.30 pagi itu, pihaknya telah merampas sejumlah 1440 kg ayam beku dipercayai diseludup masuk dari negara jiran dalam dua kereta.

Beliau berkata, sebelum itu pemandu kedua- dua kereta berkenaan memecut kenderaan itu untuk melarikan diri daripada pemeriksaan.

"Pemandu salah sebuah kereta itu telah berhenti di tepi jalan serta melarikan diri ke dalam semak.

"Pemeriksaan mendapati 60 kotak ayam beku di dalam kenderaan tersebut," katanya.

Menurutnya, sebuah lagi kereta terus memecut ke arah Kampung Tok Sangkut dan kemudian menghilangkan diri.

Kereta yang digunakan untuk menyeludup ayam sejuk beku.
Kereta yang digunakan untuk menyeludup ayam sejuk beku.

"Sejam selepas itu anggotanya telah menemui sebuah lagi kereta diparkir di bahu jalan tanpa pemandu dekat Kampung Tasik Berangan, Pasir Mas.

"Pemandu kereta itu dipercayai meninggalkan kenderaan berkenaan selepas berjaya meloloskan diri daripada ditahan pasukan PGA Batalion 9.

"Pemeriksaan ke atas kereta tersebut turut didapati muatan 60 kotak ayam beku disyaki diseludup dari Thailand," katanya.

Katanya, kesemua kenderaan bersama muatan dalam dua kes berkenaan itu dianggarkan bernilai RM46,000 dan diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk tindakan lanjut di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.