Remaja reka cerita diculik, tuntut tebusan RM100,000 dari keluarga

Gambar hiasan - Foto123RF
Gambar hiasan - Foto123RF
A
A
A

AMPANG - Dakwa sering dikongkong ahli keluarga dan tidak mendapat kebebasan dipercayai menjadi punca seorang remaja perempuan mereka cerita konon diculik dan meminta wang tebusan RM100,000 daripada ahli keluarganya.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kejadian itu berlaku pada Khamis kira-kira jam 3.30 petang selepas ibu kepada remaja berusia 19 tahun itu menerima pesanan WhatsApp daripada remaja terbabit.

Menurutnya, susulan itu satu laporan dibuat oleh bapa remaja terbabit.

"Pada hari yang sama kira-kira jam 10 malam, sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya telah membuat serbuan di rumah teman lelaki remaja itu di Taman Sri Muda, Shah Alam.

"Polis telah menahan remaja perempuan itu dan merampas telefon bimbit untuk siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, soal siasat remaja itu mengaku terlibat dalam kes yang disiasat.

Katanya, remaja itu memberitahu kejadian sebenar tidak berlaku dan hanya direka sendiri.

"Berkaitan dengan wang yang diminta sebanyak RM100,000 kepada ahli keluarga juga adalah ditaip sendiri dan hantar sendiri oleh remaja terbabit.

"Punca adalah disebabkan kerana dia (suspek) sering dikongkong oleh ahli keluarga dan tidak mendapat kebebasan," ujarnya.

Tegasnya, remaja itu kini direman tiga hari sehingga Ahad untuk siasatan di bawah Seksyen 384/182 Kanun Keseksaan.

"Tegas dingatkan, mana-mana individu yang membuat laporan palsu akan diambil tindakan undang-undang yang sedia ada tanpa prejudis," jelasnya.