Kerajaan digesa beri lebih banyak projek kepada syarikat tempatan

Faiz Fadzil
Faiz Fadzil
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan digesa membantu syarikat tempatan dengan memperkenalkan pakej rangsangan fiskal khas sektor pembinaan yang bertujuan bagi meningkatkan bilangan projek infrastruktur dalam pelbagai skala di seluruh negara.

Ahli Jawatankuasa Parti Amanah Negara (Amanah), Faiz Fadzil menjelaskan, projek-projek ini harus kelak diberikan kepada syarikat tempatan sejajar usaha untuk meningkatkan sentimen perniagaan sektor pembinaan negara.

"Malah kerajaan Pakatan Harapan (PH) boleh mengkaji cara untuk memberikan pembiayaan berfaedah rendah kepada syarikat-syarikat pembinaan tempatan supaya mereka dapat membida kontrak-kontrak pakej rangsangan ini pada kos yang rendah.

"Suntikan dana tambahan kerajaan amat diperlukan pada ketika ini untuk menyuburkan kembali pertumbuhan ekonomi negara yang terjejas akibat ketidaktentuan makro ekonomi luar negara dan hal ini selaras dengan falsafah ekonomi Keynes yang menyebut kerajaan harus mewujudkan permintaan dalam pasaran menerusi perbelanjaan fiskal untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Faiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir menjelaskan sektor pembinaan merupakan salah satu bidang penting untuk ekonomi nasional dan mempunyai kesan tinggi di mana boleh mewujudkan pelbagai peluang perniagaan dan pekerjaan serta memperbaiki kemudahan awam demi kebaikan rakyat.

"Dalam kita melangkah ke tahun 2020, kita akan menyaksikan pemberian pelbagai kontrak projek-projek infrastruktur negara berskala besar, justeru itu kerajaan perlu memastikan syarikat-syarikat tempatan dan rakyat Malaysia menjadi penerima manfaat terbesar menerusi projek ini pada masa hadapan," katanya.

Dalam pada itu Faiz membangkitkan kebimbangannya berhubung situasi apabila lebih separuh projek pembinaan berskala besar kini dikuasai syarikat-syarikat milik kerajaan China (SOE) kerana kemampuan berskala besar mereka untuk membida tender pada kos rendah sekali gus menyebabkan syarikat tempatan termasuk pemain besar sukar mendapatkan peluang kontrak.

Jelas beliau, keadaan itu agak boleh menghadkan kapasiti pertumbuhan syarikat pembinaan tempatan terutamanya pada ketika ini sektor itu terkesan akibat perkembangan ekonomi dan sentimen perniagaan yang semakin rendah.

Artikel Berkaitan:

"Dominasi SOE China dalam projek-projek infrastruktur mega Malaysia berpunca daripada pandangan sempit kerajaan Barisan Nasional (BN) terdahulu apabila telah mengutamakan syarikat asing tanpa memikirkan impak terhadap syarikat-syarikat tempatan dan ia diibaratkan 'anak dipangku dilepaskan, beruk di hutan disusukan'.

"Misalnya dalam projek East Coast Rail Link (ECRL) yang diberikan kepada SOE China, BN hanya memperuntukkan 30 peratus kontrak berkaitan kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) kepada syarikat tempatan," katanya.

Tambah Faiz lagi, selepas PH memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu, walaupun masih dihadkan oleh kontrak asal dengan SOE China, kerajaan berjaya menyemak semula kontrak dan telah meningkatkan peruntukan EPCC untuk syarikat tempatan kepada 40 peratus.

"Walaupun kerajaan telah mengambil usaha membetulkan kesilapan pentadbiran terdahulu, lebih banyak usaha perlu diperkenalkan untuk meningkatkan pertumbuhan sektor pembinaan tempatan," katanya.