Shahidan Kassim tidak hadir ke mahkamah

Thalia (tengah) ketika hadir di Mahkamah Sesyen Kangar mewakili anak guamnya.
Thalia (tengah) ketika hadir di Mahkamah Sesyen Kangar mewakili anak guamnya.
A
A
A

KANGAR - [DIKEMASKINI] Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim tidak dapat hadir prosiding serahan dokumen di Mahkamah Sesyen Kangar, hari ini bagi kes cabul remaja perempuan dihadapinya.

Peguam Shahidan, Thalia Rohaina Abdul Latiff berkata, anak guamnya terpaksa dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat masalah kesihatan sejak semalam.

"Beliau tidak dapat berjalan sejak Ahad lepas dan mengalami kekebasan agak teruk sebelum ditahan di hospital kelmarin untuk mendapatkan rawatan daripada pakar neurologi.

“Kelmarin beliau sebenarnya dah tak boleh berjalan, saya fikir hari Ahad beliau sudah merasai kebas yang teruk jadi doktor menahannya pada Isnin," katanya.

Hakim Ainul Shahrin Mohamad kemudian menetapkan kes disebut semula pada 18 Februari ini untuk serahan dokumen dan penyerahannya perlu dilakukan terus kepada tertuduh mengikut Seksyen 51A Kanun Prosedur Jenayah.

Mahkamah pada prosiding sama turut menetapkan 25 Februari ini bagi tertuduh membuat representasi selepas dokumen tersebut diteliti.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nordin Ismail dan Shahidan, 67, turut diwakili Syed Muhammad Anwar Syed Lokman Hakim dan Zuhair Ahmad Zakuan dan peguam pemerhati keluarga mangsa, Mohd Hapiz Rajali.

Setakat yang dimaklumkan kepada media, ahli keluarga mangsa berhasrat untuk tidak meneruskan kes berkenaan kerana tidak mahu fokus pembelajaran mangsa yang kini menuntut di tingkatan 4 terganggu.

Artikel Berkaitan:

Pada 21 Oktober lalu, Sinar Harian melaporkan seorang gadis berusia 15 tahun yang difahamkan penyanyi kumpulan Busker tajaan Shahidan tampil membuat laporan polis dengan mendakwa dia dicabul Ahli Parlimen Arau itu.

Bagaimanapun, mangsa kemudiannya bertindak menarik balik laporan polis yang dibuat dalam tempoh kurang 12 jam atas alasan tidak mahu memanjangkan kes.