Dua beranak selamat selepas 24 jam hanyut di laut

Mat Yasin dan Shaharul Nizam ditemui dalam keadaan selamat selepas hanyut di laut hampir 24 jam ekoran bot yang dinaiki mengalami masalah enjin. FOTO: APMM
Mat Yasin dan Shaharul Nizam ditemui dalam keadaan selamat selepas hanyut di laut hampir 24 jam ekoran bot yang dinaiki mengalami masalah enjin. FOTO: APMM
A
A
A

KUANTAN- Dua beranak yang dilaporkan hanyut di perairan Tanjung Gelang di sini selepas bot dinaiki mengalami masalah enjin kelmarin ditemui dalam keadaan selamat petang semalam.

Mat Yasin Sulong, 67 dan anaknya Shaharul Nizam Mat Yasin, 44 ditemui nelayan tempatan di lokasi kira-kira 11 batu nautika dari tempat bot mereka mengalami kerosakan.

Ketika ditemui dua beranak itu berada di atas bot dalam keadaan selamat.

Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim, Amran Daud berkata, bot dan kedua-dua nelayan tersebut ditunda ke Jeti Tanjung Api di sini.

Menurutnya, susulan penemuan mangsa, operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditamatkan jam 5.30 petang, semalam.

"APMM selaku agensi yang mengkoordinasi operasi SAR ini mengucapkan jutaan ribuan terima kasih kepada semua agensi-agensi dan nelayan tempatan yang terlibat sepanjang pencarian ini," katanya.

Bot gentian kaca milik mangsa ditunda ke Jeti Tanjung Api di sini. FOTO: APMM
Bot gentian kaca milik mangsa ditunda ke Jeti Tanjung Api di sini. FOTO: APMM

Amran berkata, komuniti maritim dinasihatkan supaya mengutamakan keselamatan dengan sentiasa memakai jaket keselamatan dan peka dengan perubahan semasa cuaca setiap kali turun ke laut bagi mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingini.

"Pihak APMM sentiasa bersedia untuk memberi bantuan tidak mengira waktu sama ada siang atau malam sekiranya ada berlaku kes-kes kecemasan.

Artikel Berkaitan:

"Orang ramai diminta menghubungi terus Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang yang beroperasi 24 jam di talian 09-5717345 atau melalui MERS 999 jika berlaku sebarang kecemasan di laut," katanya.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi mengesan mangsa digerakkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) kira-kira jam 9.30 malam kelmarin selepas mereka gagal dihubungi.

Berdasarkan maklumat awal daripada isteri salah seorang mangsa, wanita itu menerima panggilan daripada suaminya memaklumkan mereka memerlukan bantuan selepas bot dinaiki dihanyutkan akibat masalah enjin di lokasi kira-kira 8.2 batu nautika dari Tanjung Gelang di sini dan memerlukan bantuan.

Selepas menerima maklumat, APMM bersama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Pasukan Polis Marin (PPM) menggerakkan anggota dan aset untuk operasi mencari dan menyelamat.

SAR berdepan kesukaran kerana keadaan laut bergelora bagaimanapun pencarian diteruskan sehingga mangsa berjaya ditemui.

Dua beranak itu dilaporkan turun ke laut kira-kira jam 7.30 pagi untuk menangkap ikan dengan menaiki bot gentian kaca.