X

Kindly register in order to view this article
!

Hentikan video-video semburit

A
A

SEMUANYA sudah dinyatakan dengan jelas bahawa kita hanya akan ada Perdana Menteri lain dalam masa setahun dari sekarang.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memberitahu, penyerahan kuasa No 1 itu kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim akan berlaku selepas November tahun depan.

Beliau tidak dapat melakukan lebih awal daripada itu kerana Malaysia akan menganjurkan Sidang Kemuncak Pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) pada November 2020.

“Saya sudah janji untuk serah kuasa dan akan (serah kuasa). Saya pegang pada janji,” tegas Dr Mahathir kepada Reuters. Nama pengganti telah disebut, tarikhnya pun ditetapkan, maka semua orang tunggulah setahun dari sekarang.

*DENGAN ketetapan yang ditegaskan Dr Mahathir, hentikanlah soksek-soksek dan teka-teki mengenai siapa yang akan menjadi Perdana Menteri ke-8.

Tidak perlu lagi ada pihak-pihak yang bergaduh sesama sendiri untuk berebut jawatan tersebut, seolah-olah kita tidak ada kerja lain hanya untuk menjadi Perdana Menteri.

Kerakusan berebut jawatan No 1 itu dilihat keterlaluan sehingga ke peringkat memalu dan mengaibkan menerusi siri video semburit dan akhir-akhir ini pengakuan berkanun benda yang sama. Hentikanlah semburit-semburit itu. Jangan fikirkan lagi hendak menjadi Perdana Menteri sebaliknya tumpukan sepenuh usaha meringankan masalah rakyat.

Rakyat loya dan meluat melihat perangai buruk setengah pemimpin berdendam dan bertukar-tukar kisah semburit hanya untuk merebut jawatan Perdana Menteri.

*MUHAMMED Yusoff Rawther dipanggil ke Bukit Aman untuk memberi keterangan berhubung akuan bersumpah kononnya dia dicabul oleh Anwar.

Polis memberitahu, pihaknya akan memanggil Anwar untuk diambil keterangan berhubung dakwaan yang dibuat oleh Yusuf.

Sementara itu, polis sudah mendapatkan salinan video semburit tetapi belum mengesahkan sama ada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali adalah individu dalam video tersebut.

Sama ada akuan bersumpah Yusof, siasatan terhadap Anwar atau video semburit, selesaikan secepat mungkin, jangan sembunyi-sembunyi atau konar-konar.

Orang ramai hendak tahu yang sebenar. Selagi tidak diberitahu yang sebenar, rakyat akan ada was-was dan berpersepsi ada pemimpin berperangai tidak senonoh.Persepsi negatif itu patut diselesaikan supaya rakyat betul-betul yakin terhadap pemimpin dan bersemangat sama-sama membangun negara.

*APA yang ditutup nampaknya akan dibuka semula. Maka, yang hendak disembunyikan akan terbongkar.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertekad meneliti semula fail-fail kes berprofil tinggi yang telah ditutup. Ketua Pesuruhjayanya, Latheefa Koya berkata, fail-fail itu melibatkan tokoh-tokoh berpengaruh dan menegaskan: Banyak kes akan disemak semula.

Banyak aduan diterima daripada orang ramai mengenai bapak-bapak jerung yang dulu telah masuk jaring SPRM, tetapi kesnya tergendala separuh jalan.

Kita harap keadaan diperbetulkan dan mereka yang bersalah tidak kira ikan bilis atau Jaws akan dihukum.

*MENURUT satu tinjauan, Muafakat Nasional paling popular dalam kalangan responden Melayu, bumiputera, masyarakat luar bandar, golongan muda bawah 31 tahun dan golongan berpendapatan rendah.

Tinjauan Emir Research mendapati, lebih separuh (53 peratus) responden Melayu dan bumiputera cenderung kepada gabungan pembangkang itu manakala 33 peratus lagi akan memilih Pakatan Harapan (PH) jika pilihan raya umum diadakan sekarang.Dalam kalangan responden Cina dan India pula, mereka masih cenderung pada PH.

Maka, parti-parti yang berkenaan sila ambil perhatian dan mengorak langkah dengan wajar pada PRU akan datang.

*AKHIR kalam, lebih ramai graduan perempuan yang mendapat pekerjaan pada 2018 berbanding lelaki, menurut laporan Statistik Graduan 2018 oleh Jabatan Perangkaan.

Laporan itu menyatakan, sejumlah 4.96 juta graduan di Malaysia pada tahun 2018 yang mewakili kenaikan 7.6 peratus daripada 4.61 juta pada tahun sebelumnya.

Adakah itu bermakna graduan perempuan lebih bijak berbanding lelaki? atau adakah sebab mereka lebih cantik dan memikat?

TOK PERAK


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus