Mana mahu lari ...

Polis berjaya mengenal pasti suspek disyaki melakukan penipuan ketika membeli barang sukan minggu lalu.
Polis berjaya mengenal pasti suspek disyaki melakukan penipuan ketika membeli barang sukan minggu lalu.
A
A
A

BATU GAJAH - Polis sedang memburu seorang lelaki yang disyaki telah melakukan penipuan pembelian barang sukan bernilai lebih RM2,000 di sebuah premis di Taman Siswa di Kampar, Jumaat minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, pihaknya berjaya mengenal pasti suspek yang berusia 20-an itu.

Menurutnya, siasatan dijalankan selepas menerima laporan penipuan menggunakan pembayaran melalui talian perbankan daripada wanita berusia 42 tahun.

“Dalam kejadian sekitar jam 11.40 pagi itu, suspek telah datang membeli pelbagai barangan sukan di tempat kerja mangsa yang bernilai RM2,209.

"Suspek ingin membuat pembayaran menerusi kad debit selepas memaklumkan tidak mempunyai wang tunai.

“Bagaimanapun, penggunaan kad debit itu gagal menyebabkan suspek ingin membuat pembayaran dalam talian dengan memindahkan wang ke dalam akaun peribadi mangsa,” katanya.

Ahmad Adnan berkata, suspek telah menunjukkan slip transaksi wang tersebut, lalu mangsa menyerahkan kesemua barangan yang dibeli suspek.

“Mangsa menyedari dirinya ditipu apabila semakan dalam talian perbankan dan cawangan bank berhampiran mendapati tiada pindahan wang dilakukan.

Artikel Berkaitan:

“Hasil siasatan polis mendapati mangsa cuai terima bayaran menerusi akaun peribadi dan bukannya secara tunai atau kad kredit,” katanya.

Katanya, pihaknya menafikan mangsa dipukau sebaliknya ia kecuaian mangsa yang tidak membuat semakan terlebih dahulu.

“Kita telah mengenal pasti suspek menerusi akaun yang digunakan semasa memindahkan wang tersebut dalam talian ke akaun mangsa.

“Kita percaya suspek akan ditangkap dalam masa terdekat. Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.