X

Kindly register in order to view this article
!

KPM tumpu lima fokus utama: Dr Maszlee

Dr Maszlee menunjukkan buku pencapaian Kementerian Pendidikan 2019 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini. - Foto: Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan (KPM) memberi tumpuan untuk mencapai lima fokus utama yang terkandung dalam 53 inisiatif pembaharuan sistem pendidikan negara.

Menterinya, Dr Maszlee Malik berkata, lima fokus tersebut adalah mengembalikan cinta ke dalam pendidikan, kualiti pengajaran dan pembelajaran, autonomi dan akauntabiliti, Malaysia membaca dan manifesto.

"Tumpuan terhadap lima fokus utama tersebut hanyalah permulaan dan masih banyak perlu dilakukan," katanya ketika membentangkan pencapaian KPM 2019 bertemakan 'Pendidikan Untuk Semua' selepas Program Duta Guru Kementerian Pendidikan Malaysia-Yayasan Petronas di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Tambahnya, tahun ini merupakan tahun permulaan kepada semua perubahan dan beliau mahukan penetapan asas kukuh ke arah sistem pendidikan inklusif dan berkualiti tinggi.

“Menerusi fokus mengembalikan cinta kepada pendidikan, KPM berjaya menyediakan sebanyak 10,200 kelas untuk pelajar orang kurang upaya (OKU) di seluruh negara. Jumlah ini meningkat sebanyak 526 buah kelas daripada 9,674 kelas pada tahun lalu.

“Ini bermakna secara purata kita berjaya menambah sekurang-kurangnya dua kelas sehari sepanjang tahun,” katanya.

Turut hadir, Ketua Setiausaha KPM, Datuk Dr Mohd Ghazali Abas.

Selain itu Dr Maszlee berkata, menerusi Program Sifar Murid Cicir, seramai 4,369 murid tercicir berjaya kembali ke sekolah.

“Di bawah ‘zero reject policy’ pula, seramai 2,636 kanak-kanak yang tidak mempunyai dokumen berjaya mendaftar di sekolah di seluruh Malaysia,” katanya.

Tambah beliau lagi, KPM turut berjaya menyiapkan 90 peratus projek sekolah daif iaitu sebanyak 452 daripada jumlah keseluruhan 534 buah sekolah daif telah beroperasi.

“Bagi reformasi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) yang diberi penekanan, kita berjaya mencapai 96.5 peratus tahap kebolehpasaran kerja graduan TVET.

“Seramai 54,789 dari 61,510 graduan TVET pula telah mendapat pekerjaan setelah tamat pengajian,” katanya.

Dr Maszlee berkata, hasil kejayaan yang dicapai melalui perubahan pelbagai perkara dapat dilihat setelah KPM bekerja keras lebih setahun lalu.

“Berdasarkan laporan Quacquarelli Symonds (QS) Ranking, universiti tempatan meningkat dengan mendadak terutama dalam QS Asia di mana universiti awam meningkat secara drastik.

“Universiti Malaya (UM) meningkat dari 19 ke-13, Universiti Putra Malaysia (UPM) dari 34 ke-33, Universiti Sains Malaysia (USM) dari 43 ke-37, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dari 41 ke-39, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dari 47 ke-40 dan Universiti Teknologi Petronas UTP dari 99 ke-82,” ujarnya.

Menyentuh mengenai fokus manifesto berhubung isu Pinjaman Pendidikan Tinggi Tabung Nasional (PTPTN), Dr Maszlee berkata, pihaknya telah memansuhkan senarai hitam peminjam dan memberi pelepasan kepada peminjam bergaji bawah RM2,000.

“Bagi isu Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) pula, Pasukan Petugas Dasar telah ditubuhkan dan sehingga hari ini sebanyak 48 sesi libat urus melibatkan 406 orang telah dijalankan.

“Kini, kita sedang menunggu laporan penuh yang sedang disiapkan. Laporan penuh ini pula akan diteliti dan dibentang di peringkat Kabinet,” katanya.

Beliau menambah, semua kejayaan yang dicapai adalah hasil usahasama warga KPM, pendidik dan rakyat Malaysia.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!