Enam soalan KJ untuk PH

Khairy Jamaluddin Abu Bakar
Khairy Jamaluddin Abu Bakar
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar hari ini mengemukakan enam soalan yang ditujukan khas buat kerajaan.

Soalan itu berkait projek kereta nasional ketiga yang semalam dilaporkan bahawa dana RM20 juta telah diluluskan untuk membangunkan prototaip kereta nasional ketiga.

“Berapa banyak lagi duit rakyat akan digunakan untuk kereta nasional ketiga? Syarikat mana akan menerima duit tersebut? Apa ‘business plan’ kereta nasional ketiga?

“Apakah implikasi kereta nasional ketiga kepada harga kereta import? Apa jadi dengan pelaburan RM 1.6 trilion dari Qatar yang disebut oleh YB Khalid Samad Harapan Coin?

Adakah kereta nasional ketiga mempunyai kemampuan untuk melaksanakan u-turn atau sekurang-kurangnya kona baring?,” tanyanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.

Khairy turut berkongsi kenyataan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang dilaporkan 1 Disember 2018 menyebut kerajaan tidak akan melabur dalam projek kereta nasional ketiga berikutan faktor pelaburan yang terlalu tinggi.

Semalam, Kementerian Pembangunan Usahawan dilaporkan akan memperuntukkan sehingga RM20 juta bagi membangunkan prototaip kereta nasional ketiga dan menterinya, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof berkata sebahagian besar dana tersebut daripada pelaburan vendor.

Katanya, vendor yang menunjukkan minat itu kebanyakannya sudah mempunyai dana sendiri bagi menjalankan proses membina prototaip kereta nasional ketiga.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, Khairy turut berkongsi laporan berita bertajuk ‘Malaysia boleh tarik Qatar labur projek kereta nasional ketiga-Khalid’.

Jun lalu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bercadang mewujudkan jenama kereta nasional baharu bagi menggantikan Proton yang sudah tidak dianggap sebagai jenama kereta nasional selepas hampir separuh ekuitinya dijual kepada syarikat asing, Geely.