SPRM didakwa amal siasatan 'dua darjat' - Guan Eng

Lim Guan Eng
Lim Guan Eng
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) didakwa mengamalkan sikap 'dua darjat' dalam menyiasat kontroversi pelanjutan pajakan tanah Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) serta isu perbelanjaan berlebihan RM2.1 bilion oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

Penasihat DAP, Lim Guan Eng berkata, agensi berkenaan dilihat mengambil tindakan segera terhadap kes membabitkan KLSCAH, namun tiada tindakan sama berhubung perbelanjaan kementerian diterajui Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang melebihi peruntukan belanjawan diluluskan.

"Adakah SPRM melancarkan siasatan segera kerana satu kementerian dipimpin oleh menteri DAP manakala satu lagi boleh dilengah-lengahkan kerana ia dipimpin oleh menteri UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri?" katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.

Sebelum ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh mengesahkan pembantunya telah diarah agensi penguatkuasa itu untuk memberi keterangan berhubung kontroversi pelanjutan pajakan tanah KLSCAH.

Pada 23 November lalu, Hannah juga dilapor telah menjelaskan bahawa pengurangan premium tanah KLSCAH daripada kira-kira RM4.67 juta kepada RM1,000 bagi tempoh pajakan sehingga 99 tahun dibuat mengikut tatacara, tatakelola dan prosedur ditetapkan.

Dalam pada itu, Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan menjelaskan, Hannah turut menyenaraikan tujuh pertubuhan yang sebelum ini menerima kadar premium tanah nominal RM1,000 di Kuala Lumpur bagi membuktikan KLSCAH tidak diberikan layanan istimewa.

Antara pertubuhan itu ialah Yayasan Tuanku Bainun, Pertubuhan Bakti, Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Malaysia, Majlis Kebajikan Kanak-Kanak Malaysia, Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia, Persatuan Keturunan Chan She Shu Yuen Kuala Lumpur dan Selangor serta Persatuan Badminton Malaysia.

"Jelas sekali tidak ada sebarang penyalahgunaan kuasa.

"Sebaliknya dalam kes perbelanjaan lebihan sebanyak RM 2.1 bilion oleh KKDW, Kementerian Kewangan mengeluarkan kenyataan akhbar mengesahkan lebihan sebanyak RM 2.1 bilion dan salah laku tersebut," katanya.

Guan Eng turut mendakwa, SPRM masih belum menunjukkan sebarang tindakan segera meskipun laporan kepada agensi itu telah dibuat oleh Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin pada 6 Oktober 2026.

Malah menurutnya, alasan awal agensi itu bahawa siasatan tidak boleh dimulakan kerana tiada laporan telah pun disangkal dengan laporan berkenaan.

"Jika SPRM boleh menjalankan siasatan ke atas kementerian Hannah Yeoh semata-mata atas desakan pemimpin Barisan Nasional (BN) atau Perikatan Nasional (PN), mengapa pula tidak sebarang tindakan ke atas KKDW bila Kementerian Kewangan sendiri mengesahkan salah laku yang wujud?

"SPRM akan kehilangan keyakinan rakyat bahawa ia menjalankan tugas secara profesional dan bebas sekiranya tanggapan siasatan antara dua darjat berlaku tidak dijawab," ujarnya.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!