Dua sebab rakyat mula bertanya bila Parlimen nak dibubarkan - Mohd Syahir

SHAH ALAM – Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman memberikan dua sebab mengapa rakyat mula mempersoalkan tarikh pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Beliau berkata, faktor pertama ialah kegelisahan rakyat terhadap keadaan politik dan ekonomi negara, manakala faktor kedua membabitkan penolakan terhadap Pakatan Harapan (PH).
"Pertama, kegelisahan rakyat terhadap keadaan politik dan ekonomi negara. Wujud jurang antara angka-angka yang dibanggakan kerajaan dengan realiti ekonomi rakyat di bawah, yang masih berdepan tekanan kos sara hidup.
"Kedua, penolakan rakyat terhadap PH, sekali gus membuka persoalan tentang kepimpinan Anwar Ibrahim," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Sebelum ini, media melaporkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta semua pihak bersabar mengenai tarikh PRU16, sambil menegaskan pilihan raya itu akan diadakan sebelum Februari 2028 selaras dengan tempoh penggal pentadbiran kerajaan.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, PRU16 boleh berlangsung sama ada sebelum atau selepas sambutan Hari Kebangsaan tahun depan, namun tidak akan melangkaui Februari 2028.
Mengulas lanjut, Mohd Syahir berkata, landskap politik negara sudah berubah apabila keputusan empat pilihan raya negeri (PRN) menunjukkan PH yang dipimpin Anwar mengalami kekalahan di Sabah, Johor, Negeri Sembilan dan Melaka.
"Nasib yang sama dijangka menimpa PH di Sarawak. Ini belum mengambil kira kedudukan PH di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis (SG4), di samping Perak dan Pahang.
"Jika dihitung semuanya, penolakan terhadap PH meliputi 11 daripada 14 negeri. Tamparan hebat kepada Anwar," ujarnya lagi.
Menurutnya, perkembangan itu menarik untuk diteliti dari sudut legitimasi politik seseorang Perdana Menteri.
Sebagai perbandingan, beliau turut membangkitkan situasi bekas Perdana Menteri Britain, Keir Starmer yang berdepan tekanan susulan kekalahan besar Parti Buruh dalam pilihan raya kerajaan tempatan pada Mei 2026.
Katanya, Starmer mengambil tanggungjawab dengan mengumumkan peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri meskipun masih mempunyai majoriti di Parlimen.
“Mungkin perkara sedemikian terlalu jauh untuk berlaku di Malaysia, melainkan jika Perdana Menteri kita berani,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

