10 pemain import perkukuh skuad hoki Terengganu

Wan Sukairi (tiga, kanan) dan Presiden Persatuan Hoki Terengganu, Mohamad Saberi Salleh (tiga, kiri) memperkenalkan jersi musim baharu pasukan THT, TLHT bagi Liga Hoki Malaysia 2019.
A
A

SERAMAI 10 pemain import bagi skuad hoki Terengganu (THT) dan TLHT (skuad wanita) mampu memantapkan lagi pasukan itu bagi membawa pulang piala dalam Liga Hoki Malaysia, musim ini.

THT mempertaruhkan dua import Argentina dan Korea Selatan iaitu Pablo Javier Travisan, Gonzalo Merino serta Jung Manjae dan Jang Jonghyun manakala seorang pemain import dari Wales, Ant Daniel Kyriakides.

Bagi TLHT pula, tiga import dari India iaitu Man Meet Kaur, Jaswinder Kaur dan Jaspreet Kaur selain Domashneva Vera dari Wales dan Bakhavaddin Glizal dari Kazakhstan diyakini mampu menambah 'sengat' pasukan itu.

Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pengenalan jersi baharu bagi kejohanan 2019 itu akan memberi kemudahan dan manfaat kepada kedua-dua pasukan.

Selain itu, katanya, perlawanan musim ini mendapat tajaan berjumlah RM3 juta daripada tiga anak syarikat kerajaan negeri dan empat penaja swasta.

“Kita percaya dan meletakkan harapan kepada pasukan THT, TLHT untuk meneruskan kecemerlangan dalam liga hoki musim ini.

"Saya percaya, hasil gandingan mantap pemain tempatan dan import akan menyerlahkan lagi pasukan ini sekaligus mampu meraih kedudukan teratas dalam perlawanan” katanya pada majlis memperkenalkan pemain THT dan TLHT bagi Liga Hoki Malaysia TNB/MHL 2019 di Hotel Permai, malam tadi.

Barisan pemain THT bagi Liga Hoki Malaysia TNB/MHL 2019 diperkenalkan dalam satu majlis di Hotel Permai, malam tadi.
Barisan pemain THT bagi Liga Hoki Malaysia TNB/MHL 2019 diperkenalkan dalam satu majlis di Hotel Permai, malam tadi.

Sementara itu, jurulatih THT, I Vikneswaran Iswarapatham yang pertama kali mengendalikan pasukan itu berazam untuk meninggalkan legasi yang baik.

Katanya, kecederaan dialami dua pemain pada perlawanan sempena Piala Tan Sri P Alajendra adalah cabaran yang perlu ditangani secara positif.

"Saya ambil cabaran ini secara positif dan kita akan tumpu untuk buat persediaan terbaik untuk Piala Sumbangsih, Jumaat ini," katanya.

Manakala, jurulatih TLHT, Iman Gobinathan berkata, beliau nekad untuk memperbaiki prestasi pemain berbanding tahun lalu.

"Kita nak improve (perbaiki) berbanding tahun lalu dan pada pemerhatian saya, para pemain telah bersedia untuk berlawan.

"Antara kelebihan yang kita ada pada pemain import ialah dari segi ketinggian misalnya pemain import dari Kazakhstan akan beraksi dengan baik sebagai penjaga gol," katanya.

Seramai 32 pemain skuad THT dan 22 pemain TLHT bakal beraksi dalam liga hoki kali ini.

Liga Hoki Malaysia akan membuka tirai dengan perlawanan Sumbangsih antara THT menentang UniKL di Stadium Batu Buruk pada 11 Januari ini.

Terdahulu, THT tewas 2-1 kepada TNB pada perlawanan merebut Piala Tan Sri P Alajendra di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, kelmarin.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia