Skuad hoki dalam dewan wanita raih slot final

Skuad hoki dalam dewan wanita negara (jersi kuning) menewaskan Indonesia 4-2 dalam aksi terakhir pusingan round robin Sukan SEA Kemboja 2023 di Phnom Penh pada Sabtu. - Foto Facebook MHC
Skuad hoki dalam dewan wanita negara (jersi kuning) menewaskan Indonesia 4-2 dalam aksi terakhir pusingan round robin Sukan SEA Kemboja 2023 di Phnom Penh pada Sabtu. - Foto Facebook MHC
A
A
A

SKUAD hoki dalam dewan wanita negara mara ke pentas final selepas menewaskan Indonesia 4-2 dalam aksi terakhir pusingan round robin Sukan SEA Kemboja 2023 di Phnom Penh pada Sabtu.

Mereka akan membuat perhitungan dengan Thailand dalam perlawanan akhir di Dinosaur Park Hall, Chroy Changvar pada Ahad.

Malaysia menewaskan Indonesia menerusi jaringan hatrik Iren Hussin yang membuka tirai jaringan pada minit keenam selepas menyudahkan kelebihan penalti stroke.

Iren menambah dua lagi gol pada minit ke-11 hasil gerakan padang dan minit ke-27 hasil satu lagi kelebihan penalti stroke.

Turut mencatat nama selaku penjaring ialah Nur Atira Mohamad Ismail apabila meledak pada minit ke-15 selepas bijak menggunakan peluang menerusi gerakan padang.

Indonesia cuba bangkit membalas menerusi dua jaringan, namun belum cukup untuk menafikan kemaraan Malaysia ke pentas final.

Selepas tamat pusingan round robin, Malaysia mencatat empat kemenangan dan satu seri selain menghasilkan 28 gol dan hanya bolos dua gol, mengumpul keseluruhan 13 mata.

Dalam pada itu, pasukan lelaki yang turun melengkapkan jadual pusingan round robin pada Sabtu bertemu Indonesia berjaya memastikan rekod bersih tanpa kalah selepas menewaskan lawan 3-2.

Corak permainan yang lebih berhati-hati ditampilkan kedua-dua pasukan yang akan bertemu sekali lagi pada Ahad dengan misi yang lebih penting.

Indonesia bagaimanapun terlebih dahulu di depan menerusi gol padang Candra Prawesti pada minit keenam sebelum kem negara menyamakan kedudukan menerusi gol pukulan sudut penalti yang disudahkan oleh Muhammad Firdaus Omar pada minit ke-13.

Bersambung suku kedua Indonesia kembali di depan pada minit ke-30 hasil gol padang Muhammad Firdaus.

Malaysia kemudian kembali menyusun gerak untuk memadam kelebihan jaringan pasukan lawan.

Pasukan negara memperoleh dua gol hasil gerakan padang Abdul Khaliq Hamirin pada minit ke-35 dan gol pukulan sudut penalti Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan pada minti ke-37.

Kedudukan 3-2 kekal sehingga tamat perlawanan dan Malaysia menutup aksi pusingan round robin di kedudukan teratas dengan 15 mata, menghasilkan 42 jaringan selain bolos enam gol.