680 warga China ditangkap di Cyberjaya akan didakwa esok

Khairul Dzaimee memeriksa warga China yang ditahan dalam serbuan di Ipoh semalam.
Khairul Dzaimee memeriksa warga China yang ditahan dalam serbuan di Ipoh semalam.
A
A
A

IPOH - Semua 680 warga China yang ditangkap dalam satu serbuan di Cyberjaya selepas terbabit dalam sindiket penipuan pelaburan atas talian pada 20 November lalu akan didakwa di Mahkamah Sesyen Sepang bermula esok.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, siasatan kes berkenaan telahpun selesai bagi membolehkan pertuduhan dibuat.

Menurutnya, hasil siasatan tangkapan di Cyberjaya itu menunjukkan tiada penglibatan orang dalam atau pembabitan pegawai imigresen sendiri.

"Pertuduhan akan dibuat sebanyak dua kali kerana melibatkan bilangan terlalu ramai, separuh akan dituduh esok dan separuh lagi pada Isnin depan," katanya pada sidang media di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) Meru Raya di sini hari ini.

Hadir sama Pengarah Imigresen Perak, Kamalludin Ismail.

Bulan lalu, Jabatan Imigresen menumpaskan sindiket penipuan pelaburan dalam talian terbesar membabitkan warga China selepas menahan 680 warga negara itu dalam serbuan di sebuah bangunan enam tingkat di Cyberjaya.

Semua mereka yang berusia 19 hingga 35 tahun dipercayai menjalankan aktiviti penipuan secara dalam talian yang berpusat di China dan disyaki sudah beroperasi sejak enam bulan lalu.

Khairul Dzaimee berkata, sebaik proses pendakwaan selesai, semua yang terlibat akan diusir dan disenarai hitam dari masuk ke negara ini untuk selama-lamanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, pihak kedutaan China di Malaysia telah memberi kerjasama sepenuhnya terhadap kes berkenaan dan turut mengharapkan agar pendakwaan dapat dijalankan segera.

"Saya difahamkan kemungkinan mereka ini juga akan dikenakan tindakan oleh negara mereka sendiri, setakat ini tiada bukti sama ada mereka yang terlibat juga merupakan mangsa penipuan," katanya.

Khairul Dzaimee menunjukkan antara barangan yang berjaya dirampas dalam serbuan di Ipoh semalam.
Khairul Dzaimee menunjukkan antara barangan yang berjaya dirampas dalam serbuan di Ipoh semalam.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, hasil serbuan di beberapa negeri sejak 20 November lalu, Jabatan Imigresen telahpun menahan 941 warga China yang terlibat dalam sindiket sama.

Katanya, selain tangkapan di Cyberjaya, 104 warga China telah ditahan dalam serbuan di Sabah pada 26 November lalu; serbuan di Sarawak pada 29 November (52 orang) dan serbuan di Perak pada 9 hingga 11 November (105 orang).

"Dalam semua serbuan ini, didapati kumpulan berkenaan menggunakan modus operandi yang sama iaitu menjadikan tempat-tempat kediaman sebagai call centre," katanya.

Terdahulu Khairul Dzaimee turut memaklumkan satu lagi kejayaan tangkapan di Perak, semalam melibatkan 65 warga China termasuk empat wanita berusia antara 17 hingga 55 tahun.

Menurutnya, serbuan di dua rumah semi D tiga tingkat di Gerbang Maju Rapat, Ipoh itu turut merampas 232 unit telefon bimbit, 45 komputer riba, 26 monitor komputer, 4 CPU, satu mesin swipe kad kredit, 24 modem internet, 193 sim kad baru, 140 keping kad ATM pelbagai bank, 7 keping kad kredit negara China dan 47 kad pengenalan diri China.

"Kita tidak menolak kemungkinan mereka ini antara yang berjaya meloloskan diri dari operasi di Cyberjaya susulan penemuan beberapa resit pembelian barangan dapur dari beberapa pasar raya di Kuala Lumpur," katanya.