46 kawasan dikenal pasti berisiko banjir di Melaka

No Image Caption
A
A
A

MELAKA - Kerajaan Melaka mengenal pasti sebanyak 46 kawasan berisiko banjir di tiga daerah di negeri ini dan langkah persediaan telah dilakukan bagi menghadapi bencana itu pada masa akan datang.

Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari berkata, ia melibatkan masing-masing 15 kawasan di daerah Melaka Tengah dan Jasin manakala 16 kawasan lagi di Alor Gajah.

Katanya, 92 pusat pemindahan sementara turut dikenal pasti boleh menempatkan 26,060 mangsa yang akan dibuka mengikut keperluan selain 42 pembekal makanan turut dilantik bagi membekalkan barangan makanan di pusat pemindahan tersebut iaitu 27 di Alor Gajah, Melaka Tengah (10) dan Jasin (5).

"Ia merupakan antara pelan tindakan sebelum bencana dan latihan serta taklimat kepada agensi terlibat akan diberikan.

"Beberapa penambahbaikan prosedur menghadapi bencana banjir juga ditetapkan antaranya pusat pemindahan sementara akan dibuka lebih awal apabila hujan lebat melebihi tiga jam," katanya pada sidang media Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka di sini hari ini.

Beliau berkata, pengurusan pasca banjir akan melibatkan sukarelawan dan pelajar universiti serta kaedah penyampaian maklum balas yang dimantapkan sekiranya bencana itu berlaku.

Dalam perkembangan lain Adly menafikan dakwaan bahawa kerajaan negeri dalam proses menjual Pulau Besar kepada Singapura seperti yang tular di laman sosial Facebook pada 4 Disember lepas.

Menurut beliau, kerajaan negeri menerusi Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka dan Majlis Agama Islam Melaka yang hanya memiliki 20 peratus kawasan di pulau itu tidak pernah bercadang menjualnya kepada mana-mana pihak sebaliknya dibangunkan bagi aktiviti pelancongan pada tahun hadapan.

Artikel Berkaitan:

"Sebahagian Pulau Besar iaitu kira-kira 80 peratus dimiliki Tan Sri Wan Azmi Wan Hamzah dan tidak timbul isu kerajaan negeri mahu menjual pegangan yang ada. Di pihak Tan Sri Wan Azmi setakat ini kita tidak mempunyai apa-apa maklumat dan ia di luar pengetahuan kita," katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, kerajaan Melaka sedang bekerjasama dengan Universiti Teknologi Mara bagi mereka bentuk pelan pembangunan industri pelancongan di Pulau Besar menerusi peruntukan yang disalurkan Kementerian Wilayah Persekutuan sebanyak RM0.5 juta.

Sementara itu katanya, kerajaan Melaka dan Jabatan Kesihatan Melaka akan berbincang keperluan melakukan saringan di pintu masuk negeri ini bagi mengekang penularan virus polio.

"Kita akan berbincang tentang model dan kaedah kawalan atau saringan yang boleh dilakukan sebagai persediaan memandangkan Melaka merupakan sebuah negeri pelancongan dan menerima banyak kemasukan pelancong," katanya. - Bernama