Sah MAVCOM dibubar

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Pengangkutan mengesahkan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) akan dibubarkan.

Dalam kenyataan kementerian itu berkata, fungsi-fungsi utama MAVCOM akan dipindahkan kepada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

"Mesyuarat Jemaah Menteri semalam telah bersetuju supaya badan kawal selia industri penerbangan Malaysia dirasionalisasi dan diletakkan di bawah satu entiti," katanya.

Menurutnya, inisiatif merasionalisasi badan pengawal seliaan penerbangan awam di bawah satu entiti bukan sahaja dapat mengoptimumkan sumber manusia dan kewangan sedia ada malah ia dapat meningkatkan kecekapan tadbir urus serta kualiti penyampaian perkhidmatan.

"Langkah tersebut adalah selari dengan hala tuju dasar semasa kerajaan dalam merasionalisasi sektor awam terutamanya bagi meningkatkan efisiensi dan kecekapan sistem penyampaian agensi," katanya.

Kementerian itu berkata, inisiatif tersebut dapat mendorong perkembangan industri penerbangan awam supaya lebih kompetitif dan berdaya saing di peringkat antarabangsa.

"Kerajaan komited dalam memastikan pembangunan sektor penerbangan awam yang moden, mampan, selamat dan efisien selaras dengan Dasar Pengangkutan Negara 2019-2030," katanya.

Menurutnya, rasionalisasi itu melibatkan beberapa perubahan dari segi perundangan antara lain, pemansuhan Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 [Akta 771] serta pindaan terhadap Akta Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia 2017 [Akta 788]. Pemansuhan Akta 771 akan membolehkan fungsi-fungsi MAVCOM kelak dipindahkan kepada CAAM.

Artikel Berkaitan:

"Dari segi pengurusan sumber manusia pula, sebahagian besar perjawatan di MAVCOM yang melibatkan kepakaran dalam bidang-bidang tertentu akan dipindahkan di bawah CAAM.

"Pihak kementerian akan menstrukturkan organisasi CAAM baharu yang bersesuaian untuk memastikan proses rasionalisasi ini dilaksanakan dengan lancar dengan mengambil kira beban tugas baru yang akan diambil alih oleh CAAM," katanya.

Sehubungan itu, satu perbincangan terperinci bersama Kementerian Kewangan, Jabatan Perkhidmatan Awam dan Jabatan Peguam Negara mengenai struktur, fungsi, bidang kuasa, implikasi perjawatan, kewangan dan perundangan.

Pagi ini, MAVCOM dilapor kecewa dengan keputusan penggabungan tersebut.

Pengerusi eksekutifnya Nungsari Ahmad Radhi menyifatkan tindakan tanpa rundingan MAVCOM itu menghina pihaknya.