X

Kindly register in order to view this article
!

Penyangak warga China semakin berani

40 geng penyangak dari China berjaya diberkas setelah pihak imigresen menyerbu sarang mereka di sebuah banglo di Ipoh kelmarin.
A
A

NAMPAK macam kelakar! Semenjak dua menjak ini pihak berkuasa kita macam main nyorok-nyorok dengan penyangak warga China.

Mula-mula pada 20 November, polis dan pihak imigresen berjaya menangkap 650 warga China setelah menyerbu bangunan enam tingkat di Cyberjaya.

Kesemua yang ditangkap itu terlibat dengan sindiket terancang online scam. Pada 26 November, seramai 104 warga China diberkas di Kota Kinabalu atas kegiatan yang sama.

Setakat hari ini tidak pasti apakah tindakan tegas yang telah diambil pihak berkuasa ke atas penyangak @ penjenayah @ kaki scam itu.

Apakah penyangak berkenaan masih berada dalam tahanan kita dan terus menikmati makanan percuma daripada duit pembayar cukai? Jangan biarkan mereka menghabiskan beras kita!

Harapan orang ramai ialah warga asing yang telah memperdaya mangsa dengan penipuan atas talian bernilai RM juta-juta itu dihukum seberat-beratnya.

Jangan setakat tangkap, kemudian tidak tahu apa terjadi kepada mereka. Mereka mesti dihukum atas jenayah yang telah dilakukan.

Sementara kita tidak tahu apa terjadi dengan kira-kira 1,000 orang yang ditangkap di Cyberjaya dan Kota Kinabalu, tahu-tahu sindiket yang sama beroperasi di Ipoh.

Seperti yang dilaporkan media, 40 geng penyangak dari negara sama berjaya diberkas setelah pihak imigresen menyerbu sarang mereka di sebuah banglo di bandar tersebut.

Dengan semakin kerap serbuan dan sebegitu ramai telah diberkas, pertanyaan umum sekarang ialah: selepas Ipoh di mana pula?

Apakah tidak mungkin sindiket scam yang sama juga telah dan sedang rancak bergiat di bandar-bandar lain di seluruh negara?

Kebimbangan umum ialah penjenayah terancang itu telah menjadikan negara ini sebagai hub kegiatan haram ini.

Apa boleh buat, kita selalu hendak menjadikan negara ini sebagai hub-hub terbaik dunia – hub halal, hub pendidikan tinggi, hub kecemerlangan sumber manusia.

Tetapi setakat ini yang jelas menonjol dan semakin mengancam ialah hub scam atas talian.

Agaknya kerana kelemahan dan kelembapan kita, pendatang asing sama ada yang masuk secara sah, lebih-lebih lagi secara haram, menjadikan tempat kita untuk melakukan berbagai jenayah.

Jenayah black money yang melibatkan warga kulit hitam dari rantau Afrika masih bersarang di tempat kita. Ada yang masuk menggunakan pas pelajar, sampai sini jadi penyangak dan pemerah ugut.

Dulu kita hendak sangat pelancong tanah besar China berduyun-duyun melancong ke bumi bertuah ini, lalu kita mengadakan kemudahan visa (YOA).

Maka ramailah rakyat tanah besar itu masuk dengan kemudahan berkenaan. Masalahnya ialah apakah yang masuk itu keluar semula?

Apakah tidak mungkin yang masuk itu tidak keluar-keluar? Apakah pihak berkuasa khasnya imigresen mengesan mereka yang masuk tidak keluar?

Kita terlalu ghairah menarik pelancong asing, akhirnya kita tidak terkawal mana pelancong tulen, mana penyamun dan mana penyangak.

Perihal sindiket scam warga China yang semakin menjadi-jadi dan bermain di depan mata itu, apakah pihak berkuasa akan terus main nyorok-nyorok dengan mereka?

Agaknya kita terlampau berlembut dengan pendatang asing ini sehingga mereka naik lemak dan berani terang-terangan melanggar undang-undang kita.

Sempadan dan perairan kita selalu dibolosi orang jahat dari luar. Sesetengahnya seperti yang didedahkan, ada permainan orang dalam yang menjadi penyebab sempadan kita dibolosi.

Kadangkala kita pelik ada pendatang asing dengan berani mendirikan rumah di tanah kerajaan. Mula-mula buat pondok, kemudian buat rumah akhirnya menjadi perkampungan pendatang.

Tanah kita diceroboh menjadi kampung mereka dan pihak berkuasa boleh kata ‘terlepas pandang’. Kalau sebuah pondok kecil mungkin terlepas pandang, tetapi satu kampung boleh terlepas pandang?

Hutan kita diteroka oleh pendatang, balak ditebang, tanah diratakan, pihak berkuasa pun terlepas pandang. Hutan kena tebang, balak keluar masuk, pihak berkuasa kita tidak perasan?

Pihak berkuasa kita asyik terlepas pandang. Perkara di depan mata, mereka boleh tidak nampak. Maka timbul pertanyaan, apakah kemasukan warga China @ penyangak atas talian itu adalah sikap terlepas pandang pihak berkuasa kita?

Atau, seperti yang didakwa sesetengah pihak, apakah tidak mungkin ada dalang di sebalik sindiket-sindiket atas talian ini?

*Datuk Abdul Jalil Ali ialah Penasihat Eksekutif Editorial Sinar Harian. Beliau juga merupakan Profesor Adjung di Universiti Malaysia Sabah (UMS)


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!