Senator cadang tangguh pengeluaran Pas Sementara Sabah

Sabah - Foto 123RF
Sabah - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Senator Adrian Banie Lasimbang dari Sabah mencadangkan supaya Pas Sementara Sabah (PSS) yang dijangka dikeluarkan mulai Jun 2020 ditangguh sehingga proses perundingan dengan pihak-pihak berkepentingan dapat dilaksanakan lebih menyeluruh.

Beliau berkata, ini kerana rancangan pengeluaran pas baharu berkenaan telah menjadi satu perdebatan panas di Sabah.

“Kita mahu membuka peluang kepada mereka yang skeptikal atau orang yang tidak percaya dengan proses ini untuk terlibat sama kerana mereka juga perlu dijadikan sebahagian daripada penyelesaian dan bukan dianggap sebagai sebahagian daripada masalah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang-Rang Undang-Undang Perbekalan 2020 di persidangan Dewan Negara, hari ini yang dibentang untuk bacaan kali kedua oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng pada Isnin lepas.

PSS adalah pengenalan diri baharu bagi warga asing yang sudah lama menetap di Sabah bagi menggantikan tiga dokumen lama yang pernah dikeluarkan sebelum ini iaitu Kad Burung-Burung, sijil banci dan kad IMM13.

Adrian turut mencadangkan agar satu majlis khas diwujudkan bagi memantau proses PSS dengan dipengerusi bekas Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum.

Dalam perkembangan lain, Senator Dr Ahmad Azam Hamzah mencadangkan agar reka bentuk dan material digunakan untuk pembinaan sekolah pada masa hadapan mampu mewujudkan kondisi selesa terutama bagi sekolah yang mempunyai dua sesi.

Beliau mencadangkan agar bangunan sekolah pada masa hadapan dapat direka bentuk supaya dapat memberikan keadaan dingin secara semula jadi tanpa memerlukan penggunaan penghawa dingin bagi menjimatkan kos elektrik. - Bernama

Artikel Berkaitan: