Laluan Anwar ke Putrajaya tidak tergugat

Anwar Ibrahim. Gambar kecil: Laporan sinar harian semalam.
Anwar Ibrahim. Gambar kecil: Laporan sinar harian semalam.
A
A
A

SHAH ALAM - Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim memperoleh sokongan padu daripada seluruh ahli akar umbi parti yang bukan sahaja melibatkan majoriti Majlis Pimpinan Pusat (MPP) malah semua Ahli Parlimen PKR.

Ahli MPP PKR, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid berkata, pandangan mengatakan sokongan diterima oleh Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali boleh menggugat laluan Anwar untuk menjadi Perdana Menteri kelapan adalah tidak benar sama sekali.

Abdullah Sani
Abdullah Sani

Beliau juga menyangkal pendapat beberapa penganalisis politik bahawa kunci Anwar ke Putrajaya di tangan Azmin walaupun Timbalan Presiden itu didakwa menerima sokongan sekurang-kurangnya 10 Ahli Parlimen PKR.

"Mana betul perkara itu, ini tidak betul. Datuk Seri Anwar sebenarnya yang menerima sokongan padu daripada seluruh MPP dan wakil rakyat serta semua ahli parti," kata Ahli Parlimen Kapar itu kepada Sinar Harian semalam.

Selain itu Abdullah Sani berkata, Azmin dan beberapa kepimpinan PKR tidak perlu cepat melatah gara-gara ucapan perbahasan perwakilan sewaktu Kongres Nasional PKR di Melaka pada minggu lalu.

Beliau secara peribadi sendiri mendengar ucapan itu tidak langsung menyebut nama pemimpin tertentu, sebaliknya hanya menyuarakan berhubung soal pengkhianatan dalam parti.

"Kalau mereka tidak bersalah, buat apa hendak terasa dengan perbahasan perwakilan melainkan mereka betul-betul sendiri buat, Lagi satu, mereka kena ingat, mereka dapat jawatan dan kedudukan sebab berada di dalam parti, kalau tidak berada dalam parti, mereka tidak mendapat kedudukan seperti sekarang," katanya.

Artikel Berkaitan:

Farhash Wafa
Farhash Wafa

Dalam nada sama, Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak berkata, sekiranya Mohamed Azmin menerima banyak sokongan, beliau tidak akan 'lari' dan takut sewaktu sesi perbahasan Kongres Nasional PKR di Melaka, baru-baru ini.

Katanya, tindakan itu seolah-olah menggambarkan Mohamed Azmin tidak berani berhadapan seluruh perwakilan yang terdiri daripada dalam kalangan ahli akar umbi PKR.

"Azmin memang ada sokongan tetapi tidaklah ramai seperti Datuk Seri Anwar yang menerima sokongan padu daripada seluruh ahli dan kepimpinan parti. Malah pada majlis makan yang dihadiri Azmin itu bukanlah dihadiri oleh seluruh ahli dan kepimpinan PKR, hanya segelintir yang hadir," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Kunci Anwar ke Putrajaya di tangan Azmin'

Sinar Harian semalam melaporkan laluan Anwar untuk memegang tampuk kuasa di Putrajaya semakin berliku memandangkan Azmin dilihat mendapat sokongan segelintir Ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak.

Pandangan itu dinyatakan penganalisis politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Madya Dr Ahmad Marthada Mohamed yang memaklumkan Timbalan Presiden itu menerima sekurang-kurangnya sokongan 10 Ahli Parlimen PKR.