'Kunci Anwar ke Putrajaya di tangan Azmin'

Penganalisis berpendapat laluan Anwar ke Putrajaya kini tambah berliku.
Penganalisis berpendapat laluan Anwar ke Putrajaya kini tambah berliku.
A
A
A

SEBAIK Kongres Nasional PKR 2019 yang diadakan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) menutup tirai kelmarin, kemelut dalaman parti berusia 20 tahun itu tidak dapat disembunyikan lagi.

Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bersama pendokong di belakangnya secara lantang mengkritik perjalanan kongres yang disifatkan sebagai satu pentas penghinaan buat kem Azmin yang diejek sebagai pengkhianat.

Kisah Si Kitol dan Raja Mendeliar serta caci maki itu menyebabkan krisis dalaman PKR terus parah walaupun sebelum ini ada usaha daripada pimpinan PKR untuk menjernihkan hubungan Azmin dan Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Azmin bersama penyokongnya mengadakan majlis makan malam di Kuala Lumpur malam kelmarin.
Azmin bersama penyokongnya mengadakan majlis makan malam di Kuala Lumpur malam kelmarin.

Barah di dalam parti yang bertunjangkan kepada prinsip keadilan dan reformasi itu terus bercambah melalui ucapan Azmin dan penyokongnya dalam majlis makan malam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang dianjurkan di Hotel Renaissance di ibu negara Ahad lalu.

Ternyata apa yang dipertontonkan di hadapan 2,000 penyokong Azmin ditambah ia disiarkan secara langsung di Facebook membuktikan bahawa Anwar mungkin berdepan laluan berliku untuk bergelar Perdana Menteri kelapan sekiranya tidak mendapat sokongan Azmin selaku orang nombor dua dalam PKR.

Apa yang diterjemahkan melalui majlis makan malam itu adalah Azmin tidak keseorangan walaupun sebelum ini penyokong Ahli Parlimen Gombak itu ‘malu’ untuk menunjukkan muka.

Di belakang beliau terdapat sejumlah besar pendokong reformis kerana Azmin adalah antara pengasas utama PKR dan tokoh yang membina parti itu untuk kekal relevan sehingga ke hari ini.

Artikel Berkaitan:

Bagi penganalisis politik daripada Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Ahmad Marthada Mohamed, beliau berpendapat sekurang-kurangnya 10 ahli Parlimen PKR akan berdiri teguh menyokong Azmin.

Ahmad Marthada
Ahmad Marthada

Menurutnya, bukan sahaja di Semenanjung malah Azmin juga dilihat mendapat sokongan segelintir ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak.

“Blok pembangkang UMNO dan Pas sudah pasti tidak menyokong Anwar. Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Parti Amanah Negara (Amanah) pula akan lihat ke arah mana sokongan dalam PH,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Tambahnya, DAP berkemungkinan melihat kepada faktor calon sekiranya ada pemimpin yang lebih berkaliber dalam PH untuk menggantikan Dr Mahathir.

“Azmin juga mendapat sokongan ramai dalam kalangan akar umbi. Sudah tentu sokongan kepada Anwar akan berkurangan dan Anwar bukan lagi antara calon yang sesuai untuk menggantikan Dr Mahathir.

“Boleh dikatakan bahawa Azmin memegang kunci yang menjadi penentu Anwar ke Putrajaya,” kata Ahmad Marthada.

Sementara itu, penganalisis politik daripada Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Sivamurugan Pandian berpendapat, PKR kini berhadapan dengan krisis kepimpinan, legitimasi dan moral politik.

ARTIKEL BERKAITAN: Azmin kesal digelar pengkhianat

'Anwar tak obses jadi PM kelapan', kata Saifuddin Nasution

“Mungkin Azmin akan kekal tetapi tidak memberi sokongan kepada Anwar. Mungkin juga Azmin menunjukkan sokongan kepada Dr Mahathir untuk melengkapkan kepimpinan selama satu penggal.

“Kalau kita lihat pada hari Sabtu lepas (sesi perbahasan Kongres Nasional PKR), hampir 15 anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) keluar dewan bersama Azmin,” katanya.

Tambah Sivamurugan, terdapat sejumlah ahli Parlimen yang juga secara terang-terangan hadir pada majlis makan malam bersama Azmin di ibu negara yang dapat diterjemahkan sebagai tidak menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri kelapan.

Sivamurugan
Sivamurugan

Berkongsi pandangan sama, Penolong Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Muhammad Fuad Othman berkata, Presiden PKR itu perlu memperoleh sebanyak mungkin sokongan daripada partinya sendiri bagi menentukan sejauh mana pengaruh dimilikinya.

“Jika Azmin menarik balik sokongan terhadap Anwar, berapa pula jumlah dan siapakah yang menyokongnya? Azmin perlu nyatakan siapa yang bersama beliau.

'Lebih 80 peratus perwakilan setia bersama PKR'

“Barulah kita boleh lihat sama ada nombor itu memberi kesan kepada pencalonan Anwar,” katanya.

Muhammad Fuad berkata, sekiranya Anwar tidak mendapat sokongan mencukupi daripada PKR, Anwar perlu mengharapkan rakan komponen PH termasuk Sabah dan Sarawak.

Muhammad Fuad
Muhammad Fuad

Sejumlah 222 ahli Parlimen di Dewan Rakyat akan menentukan siapa pengganti Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri.