X

Kindly register in order to view this article
!

Mana bukti sudah laksana 60 peratus manifesto?

Shahir Adnan
A
A

KOTA BHARU - Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM) menggesa Menteri Kewangan, Lim Guan Eng membuktikan bahawa 60 peratus daripada janji-janji manifesto Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) telah ditunaikan.

Ketuanya, Shahir Adnan berkata, sebagai menteri, kenyataan dikeluarkan haruslah berdasarkan fakta sahih, bukan sekadar memetik nombor untuk melunakkan halwa telinga rakyat.

“Jika dilihat kepada 10 janji 100 hari yang merupakan antara 10 janji terpenting PH pun, angka 60 peratus ini jauh daripada terlaksana. Kami merungkai satu persatu untuk menyedarkan rakyat, agar tidak terus tertipu dengan wayang Pakatan Harapan.

"Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) walaupun janji ditunaikan, namun banyak ketirisan berlaku dalam sistem cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang dianggap sebagai langkah ke belakang,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, isu untuk menstabilkan harga petrol walaupun harga dilihat tertunai tetapi pada 1 Januari 2020 ia akan diapungkan kembali.

“Penghapusan hutang peneroka Felda? Gagal. Gaji minimum, gagal. Manifesto PH untuk meningkatkan janji minima kepada RM1,500 sebulan. Proses dimulakan, namun tidak terlaksana.

“Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) gagal. Tidak menangguhkan bayaran balik pinjaman PTPTN untuk semua peminjam yang mendapat gaji kurang daripada RM4,000. Dan banyak lagi janji lain yang gagal.

ARTIKEL BERKAITAN: 60 peratus manifesto PH sudah ditunaikan: Guan Eng

“Oleh itu, berdasarkan 10 janji 100 hari pun, PH sekadar mampu melaksanakan tiga janji iaitu menghapuskan GST, menstabilkan harga minyak (separa gagal) dan KWSP untuk pasangan. Berdasarkan matematik mudah, tiga daripada 10 janji adalah 30 peratus, bukannya 60 peratus seperti dicanang Lim Guan Eng,” katanya.

Shahir berkata, berdasarkan 195 muka surat buku Harapan yang mengandungi manifesto PRU14, sebanyak 60 janji dicanang kepada rakyat, namun hari ini janji-janji tersebut hanya tinggal janji dengan pelbagai alasan diberikan dan diletakkan kesalahan kepada kerajaan terdahulu.

“Akhirnya, buku Harapan sekadar sandiwara politik yang bukan kitab suci untuk kerajaan laksanakan. Anak muda terus ditipu dengan janji 1 juta peluang pekerjaan dengan gaji minimum RM 2,500.

“Anak muda Sabah dan Sarawak terus ditipu dengan janji 250,000 peluang pekerjaan dan terus ditipu dengan janji menyiarkan perlawanan bola sepak EPL percuma.

“Kami terkilan dengan kenyataan Lim Guan Eng yang terus menerus merendahkan intelek dan pemikiran rakyat Malaysia. Harus diingat, rakyat pada hari ini cakna politik dan mengikuti perkembangan pentadbiran PH.

“Kenyataan 60 peratus janji PH telah tertunai adalah kenyataan tidak bertanggungjawab seorang menteri,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus