Sabah adakan langkah kawalan cegah virus polio merebak

- Foto Facebook Poon Ming Fung
- Foto Facebook Poon Ming Fung
A
A
A

KOTA KINABALU - Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) sedang menjalankan pemeriksaan kawalan di sekitar tempat tinggal kanak-kanak yang dijangkiti virus polio di Tuaran dekat sini bagi mencegah penyakit itu daripada merebak.

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Poon Ming Fung berkata, 646 individu telah diperiksa setakat 5 Disember lepas dan tiada individu lain yang dikesan mengalami gejala 'acute flaccid paralysis (AFP) iaitu proksi kepada penyakit polio myelitis di kawasan sekitar kes berkenaan.

Beliau berkata, siasatan bagi mengenal pasti punca jangkitan masih diteruskan termasuk pengambilan sampel pengesanan najis dari kontak rapat kanak-kanak di samping sampel-sampel di persekitaran kawasan berkenaan bagi mengesan kehadiran virus itu.

"Pemberian imunisasi tambahan di kawasan tempat tinggal kes dibuat dan akan diperluaskan ke kawasan berisiko bagi memastikan penularan terhenti," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Poon berkata, JKN juga menjalankan pemantauan kehadiran virus polio melalui sampel air kumbahan di enam loji yang terpilih namun tiada virus dikesan dalam sampel berkenaan dan penduduk setempat juga dinasihatkan agar segera mendapatkan rawatan sekiranya mengalami gejala AFP.

Semalam Kementerian Kesihatan dalam satu kenyataan memaklumkan seorang bayi tiga bulan disahkan dijangkiti vaccine-derived poliovirus type 1 (VDPV1) semasa dirawat di Unit Rawatan Rapi hospital pada 6 Disember lepas kira-kira 27 tahun selepas Malaysia bebas daripada virus polio. - Bernama

Artikel Berkaitan: