Dadah RM5 juta disorok dalam rangka pintu enam kontena

Abdul Latiff (dua dari kanan) menunjukkan antara dadah yang dirampas pada sidang media di Pejabat Kastam Diraja Malaysia di Kampung Jijan di sini hari ini.
Abdul Latiff (dua dari kanan) menunjukkan antara dadah yang dirampas pada sidang media di Pejabat Kastam Diraja Malaysia di Kampung Jijan di sini hari ini.
A
A
A

NILAI - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah antarabangsa seberat 82 kilogram (kg) bernilai RM5 juta.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam Penguatkuasaan dan Pematuhan, Datuk Abdul Latiff Abdul Kadir berkata, dadah jenis ketamine itu berjaya ditemui setelah disembunyikan dalam rangka pintu enam kontena yang mengandungi pakaian terpakai (bundle) yang diimport dari Pakistan.

Katanya, hasil serbuan yang dilakukan pada 2 Disember lalu pada jam 1 tengah hari, pihaknya berjaya menahan empat lelaki termasuk seorang warga tempatan di sebuah gudang penyimpanan di Batu Caves, Selangor.

"Hasil pembongkaran tersebut menjumpai 168 kotak plastik mengandungi serbuk putih disyaki dadah jenis ketamine dengan berat kasar 42kg yang disembunyikan dalam rangka pintu tiga kontena yang berada dalam premis tersebut.

"Susulan daripada serbuan itu, kita turut menyita tiga lagi kontena di Pelabuhan Klang yang masih dalam proses penghantaran ke gudang itu.

"Hasil pemeriksaan kontena itu kita menjumpai 168 kotak plastik mengandungi serbuk putih dipercayai ketamine dengan berat kasar 40kg dan mereka turut menyembunyikan 56 kotak plastik dalam setiap pintu kontena yang dianggarkan 245 gram bagi setiap kotak," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Pejabat Kastam Diraja Malaysia di Kampung Jijan di sini hari ini.

Tambahnya, kesemua kontena diimport dari Pelabuhan Karachi, Pakistan ke Pelabuhan Klang, Selangor sebelum dihantar ke premis gudang penyimpanan.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Abdul Latiff memaklumkan pihaknya kini memburu dua lelaki warga asing untuk membantu siasatan.

"Kita sedang mencari Muhammad Fasih Khan,27, dan Muhammad Bilal Malik,29, berasal dari Pakistan untuk bantu siasatan.

"Alamat terakhir mereka adalah di The Tamarind Sentul Jalan Sentul Indah Kuala Lumpur," katanya.

Sebarang maklumat untuk pengesan penama tersebut boleh menghubungi ditalian 06-7917792 atau 017-6051505 atau menghubungi mana-mana Pejabat Kastam Bahagian Penguatkuasaan yang berhampiran.

Empat lelaki yang ditahan kini direman sehingga 16 Disember oleh Mahkamah Majisteret Selayang dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dengan rotan tidak kurang daripada 15 sebatan.