384 kes rogol di Pulau Pinang dalam tempoh empat tahun

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

GEORGETOWN - Sebanyak 384 kes rogol dilaporkan berlaku di Pulau Pinang dari tahun 2014 hingga tahun lepas.

Exco Pembangunan Wanita dan Keluarga, Keterangkuman Gender dan Agama Selain Islam negeri, Chong Eng berkata, daripada jumlah itu, 212 kes melibatkan mangsa yang berusia antara 13 dan 15 tahun.

“Ini adalah kes yang dilaporkan, terdapat begitu banyak kes yang tidak dilaporkan. Bagi setiap kes yang dilaporkan, sekurang-kurangnya lima kes tidak dilaporkan disebabkan malu dan takut,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri majlis perasmian penutupan program 'Penang Goes Orange' (PGO) oleh Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.

PGO merupakan kempen yang dijalankan oleh kerajaan negeri bersama Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) sejak tahun 2014 dalam usaha menghentikan keganasan seksual terhadap wanita.

Pada program itu, pelbagai aktiviti sukan lasak diadakan selain peserta turut berpeluang mempelajari mengenai isu keganasan seksual terhadap wanita untuk meningkatkan kesedaran para peserta yang terdiri daripada penuntut institusi pengajian tinggi tempatan.

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan negeri tidak akan berhenti untuk bersuara demi kaum wanita dan beliau berbangga kerana Pulau Pinang merupakan satu-satunya negeri yang melaksanakan Dasar Keterangkuman Gender bagi mengurangkan ketidaksamarataan antara jantina.

“Hak asasi bagi setiap orang adalah bebas daripada sebarang keganasan. Sehubungan itu, anda mengambil tindakan yang betul untuk menyokong gesaan supaya dihentikan keganasan terutamanya terhadap wanita dan gadis,” katanya.

Artikel Berkaitan:

PGO dilancarkan pada 17 November lepas di Padang Dewan Datuk Haji Ahmad Badawi, Butterworth dengan perarakan yang disertai oleh ribuan peserta sejauh 2.6 kilometer. - Bernama