X

Kindly register in order to view this article
!

Nilai ikhlas mendasari akhlak

A
A

Apabila kita membicarakan soal akhlak, tentunya dua perkara sahaja yang berlegar dalam kepala kita iaitu akhlak yang baik dan buruk.

Berkaitan akhlak yang buruk, bicaranya sungguh panjang. Apa yang jelas, ramai yang teruja untuk mempertuturkannya. Sehinggakan bukan setakat diri pelakunya sahaja yang diperkatakan akhlak buruknya, namun tular kepada anak-anak dan cucu-cicitnya sekali. Pendek kata, segala yang buruk itu akan disebut sampai bila-bila walaupun pelakunya sudah lama mengadap Ilahi.

Pun begitu, pelaku akhlak yang baik, sedikit bicaranya kerana tiada isu-isu yang boleh mengancam keharmonian kehidupan kita seharian.

Sebetulnya, isu akhlak yang baik juga tidak boleh lari daripada bicara yang cukup panjang. Ini kerana, ada yang senyumnya cukup manis, namun berkeladak di dalam hati. Terdapat juga yang rajin bersedekah namun mengharapkan pulangan di sebalik sedekah mereka. Ada juga yang suka membantu, namun tujuannya untuk membodek semata-mata. Malah ada juga yang begitu romantis dan penyayang, namun hanya meniti di bibir sahaja. Akhirnya, diri mereka sentiasa mendapat untung daripada sikap ‘baik’ tersebut.

Hakikatnya, walaupun akhlak sebegini tidak memudaratkan orang lain secara langsung namun daripada perspektif agama, moral dan etika, sikap sebegini amat buruk sekali kerana sudah hilang nilai keikhlasan.

Berkaitan dengan isu keikhlasan, bukan mudah untuk kita menilai keikhlasan hatta untuk diri sendiri. Ini kerana tiada parameter yang tepat untuk mengukur keikhlasan tersebut. Kadangkala kita sering mendengar ada orang berkata, “Nampak sangat dia tidak ikhlas membantu kita”, “Itu hanya lakonan sahaja, bab ikhlas jauh panggang dari api” dan pelbagai bentuk pernyataan lagi. Persoalannya, macam mana kita tahu mereka ikhlas atau tidak?

Menjadi lumrah kita hanya pandai menuding jari bahawa orang lain yang tidak ikhlas dan kita pula sentiasa ikhlas. Benarkah begitu? Sejauh mana kita tahu segala perbuatan dan amalan kita selama ini adalah ikhlas?Reda

Secara umumnya, ikhlas bermaksud melakukan sesuatu amalan untuk mendapat keredaan daripada ALLAH semata-mata. Nilai ikhlas merupakan syarat yang paling utama agar amalan kita diterima. Hakikatnya, nilai ikhlas memerlukan hati yang bersih. Kadangkala amalan kita nampak besar dan hebat dalam kalangan manusia, namun kosong disisi ALLAH kerana dilakukan tanpa keikhlasan.

Malah, Imam Al-Ghazali pernah menjelaskan, “Setiap manusia akan binasa kecuali orang yang berilmu dan orang yang berilmu akan binasa kecuali yang beramal dengan ilmunya dan orang yang beramal juga binasa kecuali yang ikhlas dalam amalannya.”

Berkaitan hal ini, daripada Jundub R.A, bahawa Nabi SAW bersabda: “Barang siapa yang beramal kerana sum’ah (membuat sesuatu agar orang mendengarnya) maka ALLAH SWT akan menjadikannya (amalan) sebagai sum’ah dan barangsiapa yang beramal kerana riak (membuat sesuatu amalan agar orang bercakap mengenainya) maka ALLAH SWT menjadikannya (amalan) sebagai riak.” (Riwayat Al-Bukhari).

Pada hemat saya, susur galur untuk menerbitkan keikhlasan di dalam hati tidak akan tercapai selagi kita tidak berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk membersihkan hati.

Terdapat banyak jalan untuk membersihkan hati, namun yang paling utama kita harus berkeyakinan tinggi bahawa segala keberkatan datangnya daripada sikap banyak memberi dan bukannya banyak menerima.

Sepanjang perjalanan untuk tekad memberi, kadangkala ada ketikanya kita berasa sedih kerana kurangnya menerima daripada orang lain. Akhirnya, ada yang berputus asa dengan kerenah sedemikian sehingga lupa tekad asal yang ditanam sebelum ini untuk banyakkan memberi daripada menerima.

Pun begitu, bukan mudah untuk jadikan diri kita secara konsisten suka memberi. Kadangkala, mereka yang tidak membalas pemberian senyuman kita pun sudah menyebabkan diri tidak selesa dengan situasi berkenaan. Itu belum lagi melibatkan perkara dan isu yang lebih besar lagi. Sesungguhnya, sangat beruntung bagi mereka yang begitu gigih menyuburkan nilai ikhlas di dalam diri.

Ini kerana jiwa mereka begitu kaya, sehinggakan tidak mengharap balasan daripada orang lain melainkan hanya berharap kepada ganjaran ALLAH semata-mata. Cukuplah kita memperagakan sikap yang palsu di kaca mata manusia yang sentiasa gagal menilai kebenaran. Pun begitu, ALLAH lebih kenal siapa kita sebenarnya.

* Prof Madya Dr Huzili Hussin ialah Dekan Pusat Pengajian Pembangunan Insan dan Teknokomunikasi Universiti Malaysia Perlis