Pembentukan akhlak cerminan pemimpin masa hadapan

SAFRI MUHAMMAD ZEIN
SAFRI MUHAMMAD ZEIN
A
A
A

SHAH ALAM - Menerusi tema Malaysia #QuranHour 2023 yang membangkitkan perihal akhlak bukanlah suatu perkara baharu sebalik konsep berkenaan mula diperkenalkan sejak dari zaman Nabi Muhammad SAW.

Ketua Bahagian Penyelidikan, Pembangunan dan Kawalan Kualiti Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (YWUI), Safri Muhammad Zein berkata, dalam membina sebuah negara yang bertamadun, ia memerlukan pemimpin dan rakyat bersama-sama merehabilitasikan akhlak.

“Pemuda pada masa kini merupakan antara golongan yang bakal mengemudi kepimpinan negara. Jika kita mahu membentuk pemimpin pada masa akan datang, akhlak mereka perlu diperbetulkan terlebih dahulu.

“Justeru, amat penting bagi kita untuk mengajak semua pemuda bersama-sama membina sahsiah diri melalui al-Quran khususnya terkait dengan surah Al-Insan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Sinar Live yang bertajuk ‘Pemuda Hari Ini, Pemimpin Hari Esok’ yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini, pada Jumaat.

Program itu dihoskan Haizir Othman dan turut menampilkan Konsultan Perhubungan Antarabangsa YWUI, Zaim Zamri.

Sebelum ini, media melaporkan tema Malaysia #QuranHour 2023 ialah ‘Malaysia Berakhlak Mulia: Pemuda Merdeka, Pemimpin Abrar’ dengan mengangkat tiga surah pilihan iaitu Al-Fatihah, Al-Insan dan Al-Asr yang bakal berlangsung di Masjid Sultan Mizan Zainal Abidin, Putrajaya pada 30 Ogos depan.

Mengulas lanjut, Safri berkata, tujuan utama surah itu dipilih adalah inti patinya begitu hampir dengan masyarakat sehinggakan Baginda SAW membacanya setiap Subuh pada rakaat kedua.

“Melalui surah al-insan, kita dapat memberikan satu motivasi kepada mereka (golongan muda) bahawa di sebalik kehidupan ini, ada satu ganjaran hebat yang akan ALLAH beri kepada kita.

“Banyak nikmat yang ALLAH berikan kepada pemuda yang mana pada hari ini mereka berupaya untuk memimpin keluarga, organisasi, rumah tangga dan negara,” ujarnya.