Ribut: 131 buah rumah rosak

Ahmad Faizal (kanan) bersalam dengan pelajar Akademi Penerbangan Layang-Layang pada majlis berkenaan hari ini.
Ahmad Faizal (kanan) bersalam dengan pelajar Akademi Penerbangan Layang-Layang pada majlis berkenaan hari ini.
A
A
A

IPOH - Sebanyak 131 buah rumah mengalami kerosakan akibat angin kencang dan hujan lebat di Gugusan Manjoi, di sini, petang semalam dengan anggaran kerosakan berjumlah RM234,146.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, daripada jumlah berkenaan, Kampung Sungai Tapah Seberang mencatatkan nilai kerosakan paling banyak berjumlah RM100,000 melibatkan 25 buah rumah.

"Manakala sebanyak 16 buah rumah rosak di Kampung Dato Ahmad Said 2 dengan anggaran nilai kerosakan sebanyak RM46,536 diikuti Kampung Manjoi sebanyak RM42,550 melibatkan 27 buah kediaman.

"Selain itu sebanyak 28 buah rumah di Kampung Sungai Tapah Tambahan dianggarkan mengalami kerugian akibat kerosakan sebanyak RM24,660 dan 35 buah rumah di Kampung Tengku Hussein pula sebanyak RM20,400," katanya kepada pemberita pada sidang media selepas merasmikan Akademi Penerbangan Layang-Layang, di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah, di sini, hari ini.

Menurut Ahmad Faizal yang juga Ahli Parlimen Tambun, sebuah penempatan sementara telah dibuka di Surau Kampung Tengku Hussein melibatkan 23 mangsa daripada lapan keluarga.

"Bagaimanapun, ini tidak bermaksud hanya lapan rumah sahaja yang rosak teruk kerana ada ramai lagi mangsa yang kediaman mereka rosak telah berpindah ke rumah saudara mara," katanya.

Semalam, Ahmad Faizal mengumumkan Kerajaan Perak akan menyalurkan segera bantuan yang diperlukan kepada mangsa ribut di beberapa daerah di negeri ini antaranya Daerah Kinta, Hilir Perak dan Kerian yang berlaku petang semalam.

Menurutnya, mangsa yang terjejas juga disarankan membuat laporan polis bagi memudahkan bantuan susulan dibuat.

Artikel Berkaitan: