Riza Aziz hantar representasi semak tuduhan

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Riza Shahriz Abdul Aziz, anak tiri kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang berdepan tuduhan pengubahan wang haram berjumlah AS$248 juta (RM1.25 bilion) telah menghantar representasi untuk menyemak semula pertuduhan terhadapnya.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P Kunyalam kepada pemberita selepas pengurusan kes berkaitan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) itu di kamar Hakim Mahkamah Sesyen, Rozina Ayob, hari ini.

“Pihak peguam telah menghantar representasi itu kepada Jabatan Peguam Negara pada 18 November lepas dan akan mengemas kini status representasi yang dibuat oleh pihak pembelaan pada pengurusan kes akan datang,” katanya.

Beliau berkata, mahkamah menetapkan 13 Disember ini untuk pengurusan kes bagi mengetahui status representasi itu.

Prosiding itu turut dihadiri peguam Riza, Datuk Hariharan Tara Singh.

Dalam pada itu, Mohamad Mustaffa berkata, pihaknya juga perlu menyerahkan beberapa dokumen berkaitan kes ini kepada pihak pembelaan mengikut Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah.

“Setakat ini, ada beberapa dokumen akan diserahkan dan kami akan menyerahkan senarai saksi semasa pengurusan kes nanti, manakala penyataan saksi akan diserahkan dua minggu sebelum bicara bermula,” katanya.

Pada 9 Ogos, Rozina menetapkan 6 hingga 9 Januari dan 13 hingga 16 Januari 2020 untuk perbicaraan kes itu.

Artikel Berkaitan:

Pada 5 Julai lalu, Riza, 43, pemilik syarikat Red Granite Pictures, mengaku tidak bersalah atas lima pertuduhan.

Bagi pertuduhan pertama, penerbit filem Wolf of The Wall Street itu didakwa telah melibatkan diri dalam pengubahan wang haram iaitu menerima hasil daripada aktiviti haram berjumlah AS$1.173,104 melalui satu transaksi pemindahan wang daripada akaun milik Good Star Limited di RBS Coutts, Zurich, Switzerland ke akaun City National Bank, Los Angeles, AS milik Red Granite Productions Inc.

Wang berkenaan didakwa hasil penyelewengan dana 1MDB.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu antara 12 April dan 12 Mei 2011 di City National Bank, Los Angeles Main, Amerika Syarikat.

Riza, anak Datin Seri Rosmah Mansor hasil perkahwinan terdahulu, dituduh melakukan kesalahan sama melibatkan AS$9 juta melalui transaksi pemindahan wang daripada akaun serupa pada 10 September 2012 dan 10 Oktober 2012 di tempat sama.

Bagi pertuduhan ketiga dan keempat, dia didakwa melakukan perbuatan sama membabitkan jumlah AS$133 juta dan AS$60 juta melalui satu transaksi pemindahan wang daripada akaun milik Aabar Investment PJS Limited di BSI SA, Lugano, Switzerland ke akaun BSI Bank Limited Singapura milik Red Granite Capital Ltd.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di BSI Ltd, Singapura pada 18 Jun 2012 dan 23 Oktober 2012.

Mengikut pertuduhan kelima, tertuduh didakwa melakukan kesalahan serupa berjumlah AS$45 juta di tempat sama pada 14 November 2012.

Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1) (a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, Riza boleh didenda maksimum RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-dua. - Bernama