Tiga lelaki digantung sampai mati

Tiga lelaki termasuk dua warga Iran dijatuhi hukuman mati kerana mengedar syabu empat tahun lalu. Rayer bersama anak guamnya keluar dari kamar mahkamah hari ini.
Tiga lelaki termasuk dua warga Iran dijatuhi hukuman mati kerana mengedar syabu empat tahun lalu. Rayer bersama anak guamnya keluar dari kamar mahkamah hari ini.
A
A
A

GEORGETOWN - Tiga lelaki termasuk dua warga Iran dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini apabila didapati bersalah mengedar dadah jenis methamphetamine empat tahun lalu.

Hakim Datuk Akhtar Tahir membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal membuktikan keraguan munasabah terhadap J Balakrishnan, 63; Mohammad Abbasi Younes, 37, dan SeyedMohsen Namazikivaj Seyedreza, 31, di akhir kes pembelaan.

Akhtar ketika membacakan keputusan itu berkata, mahkamah mengambil kira semua bukti dalam kes terbabit serta keterangan bersumpah daripada tertuduh yang jelas membuktikan mereka mempunyai pengetahuan mengenai kewujudan dadah berkenaan di lokasi kejadian.

Tambahnya, bukti turut menunjukkan ketiga-tiga mereka berada di lokasi dan mengetahui mengenai penghasilan dadah di rumah terbabit.

“Selepas meneliti semua bukti dan keterangan bersumpah, mahkamah dengan ini mensabitkan tuduhan terbabit dan menjatuhkan hukuman mati ke atas ketiga-tiga tertuduh,” katanya.

Bagaimanapun, tertuduh keempat iaitu wanita tempatan, B Lacheme Devi,56, dilepaskan dan dibebaskan selepas mahkamah mendapati wujud keraguan sama ada tertuduh mempunyai pengetahuan mengenai dadah terbabit di lokasi kejadian.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Farah Aimy Zainul Anwar dan Nurul Fatin Hussin manakala peguam Kitson Foong mewakili dua warga Iran, A Ashok mewakili Balakrishnan dan RSN Rayer mewakili Lacheme Devi.

Terdahulu, Farah Aimy memohon kepada mahkamah supaya menjatuhkan hukuman mandatori ke atas tertuduh.

Artikel Berkaitan:

Mengikut pertuduhan pindaan itu, kesemua tertuduh didakwa bersama-sama mengedar dengan cara pembuatan dadah berbahaya jenis methamphetamine di premis bernombor 57 B, Perindustrian Kecil, Taman Sri Rambai, Seberang Perai Tengah pada jam 10.10 malam 20 Ogos 2015.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama dan dibaca bersama seksyen 34 kanun keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dikenakan hukuman mati boleh dikenakan hukuman sebat sehingga 15 kali sebatan.