Peka gesa kerajaan pinda segera akta perhutanan

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

SHAH ALAM - Pertubuhan Khazanah Alam Malaysia (Peka) mahu penguatkuasaan terhadap aktiviti haram yang menggugat alam sekitar diperketatkan agar pindaan Akta Perhutanan Negara 1984 dapat dilaksanakan secara lebih berkesan.

Presidennya, Puan Sri Shariffa Sabrina Ali berkata, aktiviti seperti pengambilan hasil hutan secara haram hanya boleh dibendung menerusi penguatkuasaan yang jitu selain disokong tindakan undang-undang yang adil dan saksama.

“Peka mengalu-alukan cadangan kerajaan Persekutuan bagi meminda Akta Perhutanan Negara 1984, namun cadangan pindaan yang merangkumi peningkatan denda selain tempoh penjara untuk mereka yang disabit kesalahan.

“Cadangan pindaan yang merangkumi peningkatan denda dan tempoh penjara untuk mereka yang disabit masih ‘kurang’ jika dibandingkan dengan cadangan pindaan yang dikemukakan oleh Peka Malaysia melalui penyerahan memorandum di Parlimen.

“Selain itu, cadangan denda setinggi RM10 juta dikenakan berserta/atau penjara di antara lima hingga 30 tahun untuk jenayah yang dinyatakan mengikut Seksyen 15 dan 47 Akta Perhutanan Negara 1984,” katanya bagi mengulas cadangan diumumkan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Datuk Dr A Xavier Jayakumar baru-baru ini.

Tegasnya, kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri perlu membuktikan komitmen mereka untuk melindungi khazanah alam negara dengan memastikan sebarang pindaan yang dilaksanakan akan menunjukkan keberkesanannya melalui penguatkuasaan efektif.

“Peka Malaysia berharap pihak berkuasa yang bertanggungjawab akan menjalankan tugas mereka dengan penuh integriti selain diberikan ruang menyiasat tanpa sebarang gangguan demi penguatkuasaan yang jitu. Tanpanya, Akta Perhutanan Negara 1984 akan menjadi sia-sia.

“Ini kerana organisasi atau sindiket yang menjadi dalang kepada jenayah sebegini tidak mungkin dapat dihalang dengan denda yang agak kecil berbanding dengan keuntungan haram daripada aktiviti haram mereka yang mampu mengaut keuntungan beratus juta setahun,” katanya.

Artikel Berkaitan: