X

Kindly register in order to view this article
!

LZS sedia platform mudahkan urusan bayar zakat

LZS akan beroperasi setiap hari sepanjang Disember ini bagi memudahkan pembayar zakat menunaikan tanggungjawab.
A
A

SHAH ALAM - Lembaga Zakat Selangor (LZS) mula beroperasi selama tujuh hari seminggu di 27 cawangan seluruh Selangor bermula 1 Disember hingga 31 Disember ini bagi memudahkan pengeluar zakat menunaikan tanggungjawab berzakat pada musim puncak hujung tahun.

Ketua Divisyen Kutipan LZS, Mohd Sabirin Mohd Sarbini berkata, sepanjang tempoh berkenaan LZS akan beroperasi setiap hari termasuk cuti umum.

Menurutnya, waktu operasi seluruh cawangan bermula dari jam 8.30 pagi sehingga jam 4.30 petang pada hari bekerja manakala pada Sabtu dan Ahad serta cuti umum, cawangan LZS dibuka dari jam 9 pagi hingga 3 petang.

“Malah waktu operasi turut dilanjutkan pada dua hari terakhir Disember sehingga jam 8 malam dan pengeluar zakat dinasihatkan supaya menyegerakan urusan berzakat dan mengelak menunggu saat akhir bagi mengelak kesesakan di cawangan LZS atau terlepas pandang kewajipan tersebut,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, selain ke cawangan LZS, kaedah paling mudah adalah melaksanakan urusan berzakat dengan hanya melawat laman sesawang LZS iaitu www.zakatselangor.com.my.

“Semua urusan boleh dilaksanakan di hujung jari, bermula daripada membuat taksiran melalui kalkulator zakat, pembayaran melalui pautan ezakatpay dan semakan atau cetakan penyata bayaran zakat melalui pautan EzakatOnline atau EZO.

“Bagi memudahkan masyarakat menunaikan zakat, LZS menyediakan perkhidmatan Zakat On Wheels yang akan berada di tempat tumpuan umum seperti pasar raya dan pusat membeli-belah dan sebagainya di samping 15 institusi perbankan serta kaunter pejabat pos di seluruh Selangor,” katanya.

Mohd Sabirin berkata, lima mesin bayaran tanpa tunai disediakan di cawangan terpilih bagi memudahkan pengeluar zakat yang ingin menunaikan zakat di luar waktu operasi.

Mengulas mengenai inisiatif LZS menggalakkan masyarakat terutama yang berkeluarga berzakat, beliau berkata, melalui kempen Zakat@Family, pengeluar zakat disarankan datang ke cawangan LZS dan membuat taksiran serta bayaran zakat bersama ahli keluarga yang layak.

“Amalan ini secara tidak langsung memupuk budaya berzakat dalam kalangan ahli keluarga khususnya anak-anak kita, sebagaimana mereka dipupuk dengan rukun Islam lain iaitu solat dan berpuasa.

“Namun impak positif paling besar, Zakat@Family ini mewujudkan rasa kebersamaan ahli keluarga pengeluar zakat untuk membantu keluarga asnaf lain. Dengan zakat yang dikeluarkan oleh ahli keluarga, sesungguhnya dapat menyantuni lebih 60,000 keluarga asnaf fakir dan miskin yang ada di Selangor.

“LZS ingin mengucapkan penghargaan kepada pengeluar zakat yang sama-sama memberikan komitmen dalam menyantuni golongan yang memerlukan,” katanya.