Berbuat baiklah kepada ibu bapa

A
A
A

DALAM surah al-Isra’ ayat 23, ALLAH SWT telah berfirman yang maksudnya: “Dan Tuhanmu telah memerintahkan janganlah kamu semua menyembah melainkan Dia dan berbuat baiklah kepada dua ibu bapa.”

Ayat itu secara jelas menyatakan perintah ALLAH agar berbuat baik kepada ibu bapa. Dalam dunia hari ini, kita banyak mendengar rintihan isteri tentang sikap suami mereka yang tidak mengizinkan mereka menziarahi ibu bapa mereka.

Para isteri pula atas dasar mentaati suami, mengikut sahaja kata suami membuta tuli tanpa berusaha bertanya dan mendalami ilmu sejauh mana boleh taat kepada suami dalam hal sebegini.

Setiap lelaki dan perempuan wajib memahami bahawa apabila mereka berkahwin, ia bermakna kehidupan seterusnya bukan terhad setakat mereka berdua dan anak-anak mereka sahaja. Malah dalam Islam, kedudukan perempuan yang sudah bergelar isteri tidak akan bertukar corak.

Namanya kekal dibintikan kepada ayahnya. Dia tidak akan dipanggil Mrs Anuar, misalnya, sebagaimana dalam budaya barat. Dalam Islam, pertalian darah dengan ibu bapa kekal hingga akhir hayat.

Berbalik kepada persoalan antara suami dan ibu bapa, siapakah yang perlu diutamakan? Perkara ini sama sekali tidak akan jadi topik perbahasan di mana-mana pentas rumah tangga jika suami dan isteri memahami bahawa apabila mereka berkahwin, ia bermakna mereka juga berkahwin dengan keluarga pasangan masing-masing.

Oleh itu, adakah isteri boleh menziarahi ibu bapa, apatah lagi yang sedang sakit atau nazak meskipun suami tidak izin?

Bagi menjawab soalan itu, satu soalan lain perlu dijawab dahulu iaitu adakah suami tanpa sebab yang munasabah diharuskan melarang isteri daripada menziarahi ibu bapanya, apatah lagi mereka telah tua, sakit atau nazak?

Artikel Berkaitan:

Ketahuilah bahawa berbuat baik kepada ibu bapa adalah tuntutan yang besar dalam syariat Islam, begitu juga menghubungkan silaturahim. Maka, mana-mana suami yang menghalang isteri daripada menziarahi ibu atau bapanya tanpa suatu sebab yang munasabah telah melakukan beberapa dosa iaitu dosa menghalang isteri daripada menunaikan perintah ALLAH agar berbuat baik kepada ibu bapa, dosa kerana menjadi penyebab terputusnya hubungan silaturahim antara isterinya dan keluarganya serta dosa melayani isteri dengan cara yang tidak sepatutnya.

Berbuat baik dan berbakti kepada ibu bapa adalah menjadi kewajipan anak-anak sama ada lelaki atau perempuan. Tidak kira sama ada anak itu telah berkahwin atau belum, kewajipan mereka adalah berbuat baik dan berbakti kepada ibu bapanya sebagaimana yang dapat difahami daripada ayat al-Quran yang telah saya sebutkan di atas. Kewajipan itu tidak akan tamat terutama apabila ibu bapa mereka memerlukan mereka dan anak-anak pula mampu menunaikannya.

Oleh itu, tidak memberi izin kepada isteri tanpa sebab yang munasabah bertentangan dengan arahan ALLAH SWT yang memerintahkan suami agar beri layanan yang baik kepada isteri.

Merujuk kepada pandangan fuqaha’ dalam Mazhab Hanafi dinyatakan bahawa suami tidak harus menegah isterinya daripada menziarahi ibu bapanya setiap kali Jumaat (yakni seminggu sekali) dan bagi selain ibu bapa pula adalah setahun sekali.

Menurut Imam Abu Yusuf pula, jika ibu bapa isteri berupaya untuk datang menziarahi anak mereka di rumah suami, suami berhak menegahnya daripada keluar. Jika mereka tidak mampu datang, wajib suami membenarkan isterinya untuk menziarahi mereka.

Menurut Mazhab Maliki pula, tidak harus suami menghalang isteri daripada menziarahi ibu bapanya dan saudaranya tanpa suatu sebab sekiranya terjamin keselamatannya.

Menurut mazhab Syafi’ie dan Hanbali, suami ada hak untuk melarang isteri keluar dari rumah sekalipun untuk menjenguk dua ibu bapanya atau menziarahi mereka ketika sakit atau menghadiri jenazah mereka dan isteri wajib mematuhinya. Namun, jika larangan tersebut tanpa sebab yang munasabah, perbuatannya itu adalah makruh (dibenci oleh syarak).

Akhir kalam, isteri tidak wajib mentaati suami jika apa yang dilarang itu bertentangan dengan perintah ALLAH dan Rasul-Nya. Wallahuaklam.

* Dr Shamsiah Mohamad berpengalaman sebagai penyelidik isu-isu kewangan Islam dan syariah