Selangor catat pelaburan RM16.4 bilion

Amirudin Shari
Amirudin Shari
A
A
A

SHAH ALAM - Selangor mencatatkan pelaburan sebanyak RM16.4 bilion dalam sektor pembuatan sepanjang tempoh antara Januari dan September lalu, menurut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, jumlah itu melangkaui sasaran RM10 bilion ditetapkan kerajaan negeri sekali gus menjadikan Selangor berada di kedudukan teratas antara negeri menerima pelaburan tertinggi setakat suku ketiga tahun ini.

Menurutnya, tahun lalu Selangor mencatatkan pelaburan terbesar sepanjang 30 tahun dengan jumlah pelaburan sebanyak RM18.9 bilion meski di sebalik kemelut perang dagang AS-China dan kelembapan ekonomi digital.

“Ini membuktikan kestabilan politik dan pentadbiran Selangor, dasar mesra pelabur kerajaan negeri dan kemudahan infrastruktur berkualiti tinggi menjadi antara faktor penarik yang berjaya menambat hati pelabur untuk menjadikan Selangor destinasi pelaburan pilihan mereka.

“Kerajaan negeri percaya Dasar Kelulusan 100 Hari yang bakal diperkenalkan pada tahun 2020 dijangka menjadi suatu lagi bukti kesungguhan kerajaan negeri dalam mempermudahkan perniagaan, menggalakkan pelaburan dan merancakkan potensi ekonomi negeri,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, kecemerlangan dilakar diharap menjadi pendorong untuk pentadbiran kerajaan negeri bekerja keras bagi meneruskan tradisi Selangor sebagai paksi ekonomi Malaysia di samping menjuarai kemaslahatan rakyat.

Artikel Berkaitan: