Padah acukan pistol pada polis

No Image Caption
A
A
A

JOHOR BAHRU - Tindakan dua lelaki yang cuba melarikan diri daripada pemeriksaan polis dengan mengacukan pistol mengundang padah apabila salah seorang daripada mereka cedera dipercayai terkena tembakan amaran.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi kelmarin di Jalan Bukit Kempas itu, kedua-dua suspek yang menaiki sebuah kereta dikesan berlegar-legar di kawasan berkenaan dalam keadaan mencurigakan.

Susulan itu pasukan peronda polis (MPV) dari Balai Polis Tampoi mengarahkan mereka berhenti tetapi tidak diendahkan malah terus memecut laju sebelum memberhentikan kenderaan selepas dikejar sejauh 10 kilometer.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarudin Md Din berkata, pemandu kereta itu tiba-tiba memecut kereta dan cuba melanggar seorang anggota peronda yang sedang berjalan menghampiri kenderaan mereka manakala seorang lagi dilihat mengacukan senjata dipercayai pistol.

“Rakan setugas anggota kami yang melihat kejadian itu kemudiannya telah bertindak melepaskan tembakan ke arah kereta suspek sebagai langkah keselamatan sebelum mereka memecut meninggalkan anggota polis terbabit.

“Bagaimanapun, kereta dinaiki kedua-dua suspek itu ditemui kira-kira dua kilometer daripada lokasi kejadian dan dua tayar telah bocor selain ada kesan darah di bahagian tempat duduk pemandu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kamarudin berkata, polis mengesan suspek apabila salah seorang daripada mereka cuba mendapatkan rawatan di sebuah hospital kerajaan di bandar raya ini.

“Suspek yang mahu mendapatkan rawatan dipercayai pemandu kereta itu dan ditemani oleh warisnya. Hasil siasatan kemudiannya membawa kepada penahanan seorang lagi suspek.

Artikel Berkaitan:

“Ketika tangkapan kedua, polis berjaya menemui beberapa barangan termasuk wang tunai dan 15 peket plastik kecil mengandungi dadah jenis syabu,” katanya.

Menurutnya, semakan mendapati kedua-dua suspek mempunyai beberapa rekod kesalahan lampau bersabit kes dadah selain suspek pertama yang juga pemandu kenderaan turut berada dalam senarai dikehendaki.

“Ketika ditahan, kedua-dua suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan juga Peraturan 25(1)(n) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990.