1MDB: Keputusan lucut hak harta UMNO Kelantan 24 Januari 2020

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 24 Jan tahun depan untuk keputusan permohonan pendakwaan bagi melucut hak ke atas wang berjumlah RM32,962.87 yang disita daripada Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan.

Wang tersebut yang disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tahun lepas didakwa berkaitan dengan skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujah daripada Timbalan Pendakwa Raya Nik Haslinie Hashim dan peguam Nurul Hazreen Ahmad Kamal yang mewakili Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan.

Nik Haslinie berkata, pihak pendakwaan selaku pemohon telah membuat permohonan melucut hak wang dalam akaun semasa milik Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan yang merupakan responden dalam permohonan itu mengikut Seksyen 56 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

"Pihak SPRM telah menyita wang RM32,962.87 pada 29 Jun 2018 dan berdasarkan kepada notis usul dan afidivit yang difailkan pendakwaan memohon untuk melucut hak wang tersebut," katanya semasa prosiding kes itu.

Terdahulu, Nurul Hazreen berkata, responden tidak mempunyai sebab untuk mengesyaki bahawa wang itu merupakan satu pengubahan wang haram dan tidak mempunyai syak munasabah terhadap sumber kewangan tersebut.

Bagaimanapun, Nik Haslinie berkata pihak responden sewajarnya mempunyai syak dan sebab munasabah wang tersebut adalah hasil daripada aktiviti haram.

"Pihak responden wajar mempunyai syak dan sebab munasabah ke atas wang itu kerana Najib adalah tiga entiti berbeza iaitu sebagai Datuk Seri Najib Tun Razak atau perdana menteri atau presiden UMNO. Pada hari ini cek-cek diterima daripada akaun Najib atas kapasiti peribadinya sendiri bukan kapasiti sebagai perdana menteri atau presiden UMNO.

Artikel Berkaitan:

"Oleh itu, hujahan responden yang tiada pengetahuan tentang sumber kewangan itu tidak wajar diterima oleh mahkamah," katanya.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya sebelum ini dilaporkan berkata, permohonan perlucutan hak telah difailkan terhadap 41 responden untuk memperoleh semula dana kira-kira RM270 juta yang mempunyai kaitan dengan 1MDB.

Latheefa berkata, tindakan itu diambil mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA) setelah suruhanjaya itu percaya wang berkenaan dipindahkan daripada akaun bank bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. - Bernama