'Isu peragaan tatu diolah kononnya kerajaan tak jaga Islam'

Laporan Sinar Harian berkaitan program Tattoo Malaysia Expo 2019.
A
A

SHAH ALAM - Isu peragaan tatu dalam keadaan separuh bogel pada program Tattoo Malaysia Expo 2019 diolah pihak tertentu untuk menjadikan naratif kerajaan kini tidak menjaga Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, program tersebut bukan di bawah kendalian kerajaan dan tidak pernah mendapat pengiktirafan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

"Penafian daripada kementerian itu membuktikan kita tidak pernah menyokong program itu. Cuma, saya fikir dalam hal ini, pihak tertentu sekali lagi dan buat sekian kalinya menjadikan isu ini untuk menyerang kerajaan. Kononnya dulu tak pernah berlaku tapi sekarang berlaku.

ARTIKEL BERKAITAN: Penganjur tatu separuh bogel dipanggil polis

Raja Permaisuri Agong terkejut kontroversi ekspo tatu

Penganjuran ekspo tatu tidak wajar

Peragaan separuh bogel insiden mendukacitakan: Rais

"Sedangkan kita tidak ada kena mengena dengan apa yang berlaku dan sengaja disebarkan dalam media seolah-olah kitalah yang merencanakannya.

"Jadi, dengan itu naratif mereka tercapai. Apa naratif mereka? Kerajaan hari ini tidak menjaga Islam dan sebagainya. Saya sebagai menteri agama tidak mungkin kita boleh membiarkan perkara ini," katanya seperti dipetik melalui sebuah portal selepas merasmikan Seminar Antarabangsa Islam dan Kelestarian Ekologi di Institut Pengajian Islam Lanjutan Antarabangsa (IAIS) di Kuala Lumpur semalam.

Menurut Mujahid, beliau hanya boleh memberi amaran dan nasihat sahaja kerana daripada sudut penguatkuasaan undang-undang, perkara itu diserahkan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan MOTAC serta pihak berkuasa tempatan.

Beliau juga mahu rakyat negara ini lebih sensitif serta berusaha mengelakkan perkara yang tidak menggambarkan budaya negara ini.

"Saya mahu mengingatkan semua pihak kita boleh melakukan apa sahaja selagi ia mengikut undang-undang, ikut sensitiviti dan kalau pun ia dilihat sebagai satu seni, buatlah dalam keadaan tertutup serta pada kelompok tertentu sahaja.

“Janganlah secara terbuka, kemudian yang lebih buruk hari ini kita tak boleh elak bila ada orang tularkan dalam media sosial. Lebih buruk orang ambil kesempatan menuduh kerajaan yang buat," katanya.