Hari-Hari perkenal gedung online pakaian sekolah

Antara muka eHari yang menawarkan pelbagai pilihan kelengkapan sekolah secara online.
A
A

PUSAT Pakaian Hari-Hari Sdn Bhd (Hari-Hari) mengambil langkah proaktif dengan memperkenalkan platform dalam talian, eHari menerusi www.ehari.com untuk memberikan kemudahan kepada orang ramai membeli-belah kelengkapan sekolah sebagai persediaan bagi menghadapi sesi persekolahan 2020.

Pengurus Kewangan dan Operasinya, Syed Mohamed Sani Syed Kamarullbahrin berkata, pembeli yang menggunakan platform tersebut berpeluang menikmati diskaun sehingga 15 peratus bagi kesemua barangan dan keperluan kelengkapan sekolah yang dijual.

Menurutnya, mereka juga berpeluang mendapatkan penghantaran pos percuma untuk pembelian berharga RM50 ke atas, sekali gus menerima hadiah kalendar dan stoking putih.

“Kami memperkenalkan platform ini untuk memberikan kemudahan kepada pelanggan membeli-belah di hujung jari sahaja.

“Mereka juga tidak perlu bersesak untuk membeli barangan keperluan persekolahan pada musim cuti sekolah ini,” katanya.

Katanya, ibu bapa yang berminat boleh mula membeli-belah di eHari bermula dari 20 November lalu sehingga 31 Disember nanti.

Syed Mohamed Sani menunjukkan eHari yang boleh digunakan oleh orang ramai untuk membeli-belah kelengkapan sekolah. - FOTO ASRIL ASWANDI SHUKOR
Syed Mohamed Sani menunjukkan eHari yang boleh digunakan oleh orang ramai untuk membeli-belah kelengkapan sekolah. - FOTO ASRIL ASWANDI SHUKOR

“Mereka tidak perlu risau mengenai saiz dan kualiti pakaian sekolah dan kasut yang kami tawarkan kerana ia sama seperti di cawangan kami,” katanya.

Dalam pada itu, Syed Mohamed Sani berkata, syarikat berkenaan juga memberikan diskaun sebanyak 15 peratus kepada pelanggan yang menggunakan kad debit atau kredit CIMB Bank Berhad (CIMB) ketika berbelanja di semua cawangan Hari-Hari di seluruh Malaysia.

Tambahnya, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau parti politik turut menikmati potongan harga pembelian kelengkapan sekolah untuk program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang mereka anjurkan bagi menyantuni pelajar kurang berkemampuan di mana-mana cawangan Hari-Hari.

“Mereka hanya perlu menghubungi ibu pejabat kami untuk memaklumkannya dan mereka juga boleh guna kaedah baucar tunai,” katanya.

Penuhi trend berbelanja secara dalam talian

Syed Mohamed Sani berkata, Hari-Hari mengambil inisiatif memperkenalkan eHari untuk memenuhi trend orang ramai yang gemar membeli-belah secara dalam talian.

“Pembelian melalui platform ini memberikan kemudahan, keselesaan dan menjimatkan masa pelanggan kami.

“Namun, orang ramai juga boleh membeli-belah kelengkapan sekolah seperti biasa di 85 cawangan Hari-Hari di seluruh negara,” katanya.

Uniform sekolah yang dijual pada harga berpatutan di eHari.
Uniform sekolah yang dijual pada harga berpatutan di eHari.

Jelasnya, eHari menawarkan uniform sekolah mengikut saiz pakaian sekolah rendah dan menengah, sekolah agama, pengawas dan pustakawan.

“Kami menyediakan panduan ukuran kepada pengunjung laman web kami memilih saiz yang mereka mahukan.

“Sekiranya mereka mendapati saiz yang diperoleh tidak tepat dan ada yang rosak, mereka boleh membuat pertukaran di cawangan kami yang terdekat dengan mereka,” katanya.

Sasar 5,000 pembelian

Walaupun baru diperkenalkan pada tahun ini, Syed Mohamed Sani berkata, Hari-Hari menyasarkan sebanyak 5,000 pembelian melalui eHari berikutan sambutan memberangsangkan yang diterima di platform e-dagang lain sebelum ini.

“Kami menjangkakan pelanggan dalam talian kami dari kawasan bandar berbanding penduduk di luar bandar yang lebih suka berkunjung ke cawangan kami.

“Rata-rata pelanggan dalam talian kami terdiri daripada golongan muda,” katanya.

Tambahnya, Hari-Hari menjangkakan orang ramai akan membeli kelengkapan sekolah dengan lebih awal untuk mendapatkan saiz yang mereka mahukan.

Syed Mohamed Sani - FOTO ASRIL ASWANDI SHUKOR
Syed Mohamed Sani - FOTO ASRIL ASWANDI SHUKOR

“Kami menjangkakan jualan akan meningkat pada tahun ini berbanding tahun lalu susulan pelancaran platform e-dagang berkenaan.

“Kami unjurkan jualan meningkat kepada lima hingga lapan peratus menjelang akhir tahun 2020,” katanya.

Beliau berkata, syarikat berkenaan juga tak ketinggalan mengambil pendekatan untuk membuka dua lagi cawangan baharu di Sarawak pada 2020 untuk mengukuhkan kedudukannya.

“Pada tahun 2019, kami telah membuka dua cawangan iaitu di Shah Alam dan Semenyih, Selangor,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, Beliau berkata, Hari-Hari juga akan mengadakan peraduan di Facebook dan Instagram Hari-Hari pada Disember ini.

“Kami tawarkan sebanyak RM10,000 baucar tunai untuk dimenangi.

“Mereka yang berminat boleh layari Facebook/harihari atau instagram/harihariofficial,” katanya.

Pusat Pakaian Hari-Hari menawarkan diskaun sebanyak 15 peratus.
Pusat Pakaian Hari-Hari menawarkan diskaun sebanyak 15 peratus.