Pengarah didakwa tipu syarikat pemaju hartanah RM12.2 juta

No Image Caption
A
A
A

SEREMBAN – Seorang pengarah syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas pertuduhan memperdaya sebuah syarikat pembangunan hartanah memasukkan wang berjumlah RM12.2 juta ke dalam akaun syarikatnya bagi sebuah projek perumahan yang tidak wujud pada 2016 dan 2017.

Tertuduh, Zakaria M Abdul Razak, 51, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Diana Mohd Razali.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh secara tidak jujur telah memperdaya syarikat Huaren Construction Group bahawa projek perumahan ‘Prefer 1Malaysia’ akan dibangunkan di Mukim Taboh Naning, Melaka sedangkan projek tersebut tidak wujud.

Akibat perdayaan tersebut, Huaren telah memindahkan wang sebanyak RM12,174,041 ke dalam akaun syarikat Ruas Rimbun Sdn Bhd.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Noralis Mat dan tertuduh tidak diwakili peguam.

Hakim kemudian memerintahkan tertuduh dikenakan jaminan sebanyak RM300,000 dengan seorang penjamin serta pasportnya diserahkan kepada mahkamah.

Mahkamah menetapkan 7 Januari depan untuk sebutan semula kes. - Bernama

Artikel Berkaitan: